MOHD Ghaus (kiri) bertukar dokumen dengan Pengarah Urusan Businessworld Services, Azlina Miswan (kanan hadapan) sambil diperhatikan  Rozali  (tengah) dan Pengarah PSIS, Norehan Md Shariff (kanan).
MOHD Ghaus (kiri) bertukar dokumen dengan Pengarah Urusan Businessworld Services, Azlina Miswan (kanan hadapan) sambil diperhatikan Rozali (tengah) dan Pengarah PSIS, Norehan Md Shariff (kanan).
myMetro

Sabak Bernam: Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), di sini, menandatangani Memorandum Persefahaman dan Perjanjian bersama 12 rakan industri sebagai inisiatif untuk menjadikan institusi itu penyumbang kepada kebolehpasaran kerja dalam industri berkaitan.

Inisiatif itu diambil bagi mencapai hasrat Jabatan Pendidikan Politeknik Malaysia yang menyarankan setiap politeknik mengenal pasti industri untuk institusi mereka.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pendidikan Politeknik Malaysia Mohd Ghaus Ab Kadir berkata, tujuan utama kolaborasi itu diwujudkan adalah untuk mengetengahkan dan membuka pelbagai peluang kerjaya serta perkongsian ilmu dengan agensi luar.

“Program transformasi politeknik ini mempunyai makna yang besar kerana ia bukan saja satu langkah ke hadapan dalam meningkatkan kualiti pendidikan, latihan teknik dan vokasional (TVET), tetapi bakal mengubah persepsi umum terhadap pendidikan berteraskan kemahiran.

“Walaupun politeknik peneraju utama dalam TVET di Kementerian Pendidikan, namun jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak penting dalam mempelbagaikan corak pembelajaran dan pengajaran di politeknik,” katanya selepas majlis itu, di sini, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat PSIS Tan Sri Dr Rozali Ismail ketika berucap berkata, kerjasama itu bukan saja membolehkan pelajar membuat latihan praktikal di syarikat yang mengambil bahagian, malah pelajar juga akan diberikan pendedahan secara terus kepada pemain industri menerusi program Pensyarah Pelawat Industri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 9:12 AM