Kuala Lumpur: Institusi yang menyediakan program berkaitan latihan teknikal dan pendidikan vokasional (TVET) bersedia melaksanakan dasar yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi)- PPPM (PT) 2015-2025 untuk meningkatkan kualiti graduan TVET.

Bagi Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik Datuk Mohlis Jaafar, menerusi PPPM (PT), TVET akan diperkasakan secara lebih menyeluruh seterusnya mampu meningkatkan lagi kualiti institusi berkaitan dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi.

“Ianya adalah tugas besar bagi kami untuk menambah baik lagi jenama TVET selari dengan sistem pendidikan tinggi negara supaya ia bukan lagi dipandang sebagai kelas kedua, namun kami menyahut misi ini.

“Oleh itu, strategi dan perancangan dimasukkan dalam kurikulum kami untuk memperkasakan lagi usaha meningkatkan kualiti graduan supaya lebih holistik dalam pelbagai aspek hingga ke peringkat global,” katanya.

Tambah beliau, kemunculan PPPM (PT) ini amat dialu-alukan kerana akan memberi peluang lebih cerah kepada graduan dalam bidang TVET untuk memenuhi kehendak industri.

“Banyak manfaat dan peluang cerah yang akan pelajar dapat menerusi pelaksanaanya. Ia sudah tentu memperkukuhkan lagi kerjasama politeknik dan pihak industri menerusi program ‘work based learning’ politeknik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 8:36 AM