RAJA Zarith Sofiah mengunjungi  Yusnita yang menghidap kanser.
RAJA Zarith Sofiah mengunjungi Yusnita yang menghidap kanser.
Oleh Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Pusat Rawatan Onkologi Hospital Sultan Ismail (HSI) bakal menerima sumbangan sebuah unit imbasan CT-simulator baru kurniaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar.

Menurut kenyataan dipetik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pembelian dan pemasangan CT-simulator moden terbabit berjumlah RM3.6 juta.

“Ini membantu memastikan lebih ramai pesakit kanser dapat diselamatkan melalui rawatan radioterapi di hospital tersebut dengan segera tanpa berlengah lagi.

“Sultan Ibrahim akan mengurniakan pembelian mesin berkenaan manakala kos pemasangan ditanggung Kementerian Kesihatan.

“Mesin CT-simulator itu adalah kritikal bagi rawatan radioterapi bagi pesakit kanser. Mesin yang digunakan di hospital ketika ini mula digunakan secara aktif sejak 2004 selepas diperoleh pada 1998.

“Memandangkan usia dan jangka hayatnya, mesin terbabit usang dan tidak boleh diharapkan serta kerapkali mengalami kerosakan beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik awal pagi semalam.

Menurut kenyataan itu, isu berhubung mesin CT-simulator yang semakin uzur itu dimaklumkan kepada Sultan Ibrahim oleh Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Idris Shah.

“Tuanku Permaisuri tersentuh dengan kesusahan yang dihadapi oleh Yusnita, seorang pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berusia 21 tahun yang menghidap sejenis kanser yang sangat berbahaya.

“Yusnita dari Pengerang, berasal daripada sebuah keluarga yang besar dan kurang berkemampuan. Beliau menjalani pembedahan membuang tumor kanser, namun dimaklumkan kemudian masih terdapat sel kanser di sekitar kawasan pembedahan.

“Enggan lagi menjalani pembedahan beliau sebaliknya memilih menjalani radioterapi, tetapi diberitahu mesin CT-simulator itu rosak dan perlu diperbaiki, sekali gus melambatkan sesi radioterapi diperlukan beliau selama beberapa bulan,” katanya.

Dalam kenyataan itu, Raja Zarith berkata, memahami perasaan ibu bapa yang mempunyai anak menghidapi kanser dan berkongsi penderitaan, kesedihan serta kehilangan yang sama selepas anakanda Almarhum Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil disahkan menghidap kanser.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Mohd Khairi Yakub ketika dihubungi menjunjung kasih atas kurniaan dan keprihatinan Sultan Ibrahim berikutan keperluan kritikal untuk rawatan pesakit kanser di HSI.

Katanya, HSI menjadi pusat kanser bagi bahagian selatan tanah air termasuk Melaka, Pahang selain Johor sendiri dan tahun lalu sahaja 1,300 pesakit kanser mendapatkan rawatan menggunakan mesin yang lama.

“Insha-Allah mesin yang lebih canggih itu akan diperolehi dalam masa terdekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2016 @ 8:07 AM