Mary Victoria Dass


“KAMI berdoa roh arwah dirahmati Allah kerana sudah banyak penderitaan dialaminya sejak menghidap barah,” kata Ameerul Fadzleey Jamil, 30, sepupu pesakit kanser, Abdul Halim Haron, 43, yang meninggal dunia di rumah keluarganya di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, pada 2.30 petang tadi.

Ameerul Fadzleey berkata, dia terkilan dengan pemergian sepupunya kerana hanya beberapa hari lalu sempat menziarahinya dan masih bersemangat meneruskan hidup.

Menurutnya, walaupun kuat semangat untuk melawan kanser tulang, otot dan tisu atau Maxillary Ostio Sarcoma tahap empat, keadaan sepupunya itu bertambah buruk apabila sel kansernya semakin agresif dan merebak ke kedua belah mata hingga menjejaskan penglihatannya.

Katanya, kali terakhir melawatnya beberapa hari lalu yang mana Abdul Halim mengadu mata kanan sudah tidak berfungsi.

“Kanser merebak di hampir seluruh wajah dan keadaannya menyayatkan hati, namun kami tetap memberikan semangat kepadanya supaya dia kuat melawan penyakit itu.

“Dia yang bergantung kepada mesin oksigen untuk bernafas sejak keluar dari Hospital Sultan Ismail (HSI) semakin lemah dan meninggal dunia.

“Saya yakin dia banyak menderita namun sebelum ini, dia menguatkan semangat demi isteri dan anak-anaknya yang masih bersekolah. Ternyata Allah lebih menyayanginya,” katanya.

Ameerul Fadzleey berkata, dia tidak menyangka kenangan menyambut Aidilfitri bersama arwah, minggu lalu, adalah sambutan hari raya terakhir mereka bersama.

Menurutnya, dia berharap keluarga Abdul Halim tabah mengharungi dugaan akibat kehilangan ketua keluarga yang bertanggungjawab dan penyayang itu.

“Sudah menjadi suratan takdir kerana walaupun menjalani pembedahan dan rawatan, akhirnya dia pergi juga. Kami reda dengan pemergiannya dan berterima kasih kepada semua pihak termasuk pembaca Harian Metro yang mendoakan kesihatan serta menyalurkan sumbangan,” katanya.

Selepas pembedahan pembuangan ketumbuhan di wajah termasuk berhampiran mata kanan dilakukan pada 28 Februari lalu di sebuah hospital awam di Kuala Lumpur, kanser dialami Abdul Halim semakin aktif.

Arwah dinasihatkan menjalani rawatan radioterapi sebanyak 35 kali namun hanya berjaya melengkapi rawatan sebanyak 12 kali selain bergantung sepenuhnya kepada susu khas disyorkan doktor.

Sebelum ini, arwah mampu membiayai kos pembedahan berjumlah RM60,000 hasil sumbangan ramai.

Pada 3 Februari lalu, Harian Metro mendedahkan kesengsaraan Abdul Halim kerana kanser mencecah tahap empat dan berdepan pelbagai risiko.

Nasib bekas perunding takaful itu agak malang berbanding pesakit kanser lain berikutan ubat digunakan ketika rawatan kemoterapi sebanyak 10 kali di sebuah hospital awam di bandar raya ini, tidak mampu mematikan sel kanser malah mengaktifkannya.

Kanser unik itu hanya berlaku dua daripada 1,000 individu dengan kebiasaan pesakit berdepan masalah di kaki atau tangan, namun arwah terjejas di bahagian muka terutama mata kanan.

Pada Februari tahun lalu, 2018, dia disahkan menghidapi kanser dan menjalani rawatan kemoterapi hingga awal Januari tahun ini.

Abdul Halim meninggalkan isteri, Norizan Abdul Nasir, 41, dan tiga anak lelaki dan tiga anak perempuan berusia antara 5 hingga 17 tahun yang masih bersekolah.

Berita berkaitan

Perlu RM8,000 lagi

Sungguh berat dugaanmu Halim

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 5:56 PM