TIDAK berlaku kesesakan kenderaan di Plaza Tol Gombak. FOTO Ihsan Polis
TIDAK berlaku kesesakan kenderaan di Plaza Tol Gombak. FOTO Ihsan Polis
Oleh Amir Abd Hamid


Gombak: Tiada pertambahan kenderaan yang luar biasa berlaku di Plaza Tol Gombak laluan menghala pantai timur walaupun musim perayaan untuk menyambut Aidiladha sudah semakin menghampiri Selasa ini.

Ini menunjukkan kesedaran tinggi perantau di Lembah Klang melupakan hasrat pulang ke kampung di negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang dapat membantu negara mengurangkan ledakan Covid-19 yang berisiko terjadi akibat pergerakan rentas negeri.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, keadaan terkini trafik kenderaan di Lebuhraya KL - Karak, Bentong menunjukkan aliran kenderaan seperti biasa.

"Flow (aliran) kenderaan tiada yang luar biasa," katanya ringkas menerusi WhatsApp sambil melampir foto tinjauan.

Sementara itu, Pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) ANIH Berhad menjangkakan jumlah trafik lebuh raya itu akan mengalami penurunan pada tempoh perayaan Aidiladha berikutan larangan rentas negeri yang berkuat kuasa ketika ini.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein, berkata pihaknya menjangkakan penurunan sebanyak 81.3 peratus bagi KLK dan 72.5 peratus bagi LPT1 berbanding jumlah purata harian, untuk tempoh bermula semalam hingga Ahad ini.

Bagaimanapun, katanya, bagi mengekang penularan wabak Covid-19, semua fasiliti di sepanjang KLK dan LPT 1 terus mempraktikkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Ia termasuk, katanya, proses sanitasi berkala, penyediaan cecair pembasmi kuman serta peralatan merekod butiran diri dan alat pengimbas suhu badan.

"Oleh itu, pengguna lebuh raya disarankan untuk sentiasa mematuhi SOP ketika menggunakan fasiliti lebuh raya.

"Di dalam kita mensyukuri nikmat hari raya Aidiladha yang bakal tiba, jangan kita alpa untuk terus mematuhi SOP yang disarankan dalam usaha menghentikan rantaian wabak Covid-19.

"Tanggungjawab ini perlu dipikul bersama dalam memastikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat dijayakan sebaiknya," katanya dalam kenyataan hari ini.," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 10:25 PM