SITI Hazwani bersama tiga anaknya.
SITI Hazwani bersama tiga anaknya.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Wanita ini kehilangan suami tercinta, Kapten Hasman Hussin yang lemas di Amerika Syarikat, dua tahun lalu ketika masih berpantang selepas melahirkan anak kembar menyebabkan dia kemurungan akibat tertekan dengan kejadian itu.

Selama lapan bulan dia mengalami kemurungan hingga mengabaikan kedua-dua anaknya yang masih kecil.

Namun, berkat sokongan keluarga, Siti Hazwani Ahmad, 32, bangkit meneruskan perjalanan hidup, apatah lagi apabila mengenangkan anak memerlukan kasih sayangnya.

Katanya, dia mengambil masa hampir setahun untuk bangkit semula demi masa depan tiga anaknya selepas mengalami kemurungan teruk.

Siti Hazwani kehilangan suami yang juga seorang pegawai tentera ketika menjalani kursus di Fort Leonard Wood, Amerika Syarikat apabila kenderaan yang dinaiki bersama rakan kolejnya dihanyutkan banjir di Missouri pada 26 Disember 2015.

Katanya, dia mengalami kemurungan akibat kejadian itu, namun sokongan keluarga dan sahabat membantunya membina semula kehidupan.

“Saya perlu fokus terhadap tiga cahaya mata yang masih kecil dan mereka memerlukan kasih sayang seorang ibu. Jika saya berterusan meratapi kehilangan suami dicintai sampai bila pun ia tidak menyelesaikan masalah,” katanya.

Siti Hazwani berkata, membesarkan tiga anak semakin lasak memerlukan banyak perhatian dan tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa.

Katanya, dia mengambil cuti lima tahun dari sebuah jabatan kerajaan bagi memberi tumpuan khusus terhadap anaknya itu.

SITI Hazwani menunjukkan produk Tiga Hero yang semakin mendapat permintaan.
SITI Hazwani menunjukkan produk Tiga Hero yang semakin mendapat permintaan.

“Duit pencen RM916 sebulan tidak mencukupi untuk keperluan saya dan anak. Saya buka perniagaan dalam talian sebagai sumber pendapatan kerana tidak mahu bergantung harap pada ihsan masyarakat dan keluarga, apatah lagi banyak keperluan perlu disediakan untuk anak.

“Saya menggunakan jenama produk Tiga Hero mengambil sempena tiga anak lelaki, Muhammad Aqil Tahfiz, 5, dan kembar Muhammad Aqil Solihin dan Muhammad Aqil Solihin, 2,” katanya.

Siti Hazwani berkata, Tiga Hero yang ditubuhkan pada Oktober 2016 sebagai usahanya mencari rezeki buat anak yang memerlukan banyak perbelanjaan.

Katanya, biarpun banyak cabaran dihadapi apabila terbabit dalam bidang perniagaan, dia perlu mengharungi semua cabaran itu bagi memastikan kebajikan anak terbela.

“Keluarga dan rakan banyak memberi sokongan untuk meneruskan perniagaan ini dan pada masa sama saya terus gigih mengikuti pelbagai kursus berkaitan dunia perniagaan.

“Alhamdulillah, produk kesihatan dan kecantikan Tiga Hero sentiasa mendapat permintaan dan saya bersyukur kerana ada lagi rezeki untuk anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 11:13 AM