PENDUDUK kampung mencari mang.
PENDUDUK kampung mencari mang.
MANG sedap dipanggang mahupun  digoreng.
MANG sedap dipanggang mahupun digoreng.
MANG keluar dari sarang.
MANG keluar dari sarang.
Oleh Khalid Latip

Daro: Setiap kali peralihan musim tengkujuh di bahagian tengah Sarawak, nelayan yang tidak ke laut akan menjalankan pelbagai pekerjaan sampingan termasuk memburu mang iaitu sejenis udang hidup dalam lumpur.

Di muara Kuala Rajang di sini, nelayan yang tinggal di kawasan itu biasanya akan berduyun-duyun turun ke kawasan berpaya untuk menangkap mang sama ada dijual ataupun untuk juadah seisi keluarga.

Mang sememangnya jarang diperoleh pada hari biasa dan hanya banyak ditemui ketika tiba musim tengkujuh. Ia tertumpu di kawasan berpaya saja.

Nelayan, Abdullah Jamaluddin Hashim, 40, berkata, mang lazimnya membuat sarang yang kelihatan seperti busut di tepi sungai kecil ataupun kawasan berpaya dan alur.

Menurutnya, hidupan berwarna jingga yang mempunyai sepit dan ekornya seperti kala jengking itu hanya akan keluar dari sarangnya selepas hujan lebat ataupun guruh yang kuat.

“Untuk mendapatkan haiwan ini memang sukar kerana ia tidak akan keluar melainkan ketika hujan lebat dan guruh. Jika digali lubangnya sekalipun masih sukar untuk mendapatkan haiwan ini.

“Kalau nak tangkap mang dengan mudah kena tunggu selepas hujan. Ketika itu orang kampung akan keluar beramai-ramai menangkap mang,” katanya.

Bagi Julaihi Musa, 50, sejak pertengahan Disember lalu lagi, kawasan berpaya menjadi tumpuan penduduk kampung mengutip udang terbabit.

Katanya, setiap kawasan yang menjadi lubuk mang akan dipenuhi orang kampung sambil membawa baldi dan bakul semata-mata mahu memburu mang.

“Mang yang ditangkap biasanya hanya dijadikan hidangan keluarga. Ada juga menjualnya, tetapi dengan harga murah. Biasanya tiga ekor cuma RM1.

“Untuk memasaknya, mang boleh digoreng seperti biasa bersama kicap. Isinya seakan–akan ketam, sedap dan tidak hanyir. Mang amat enak jika dimakan bersama nasi dan sagu,” katanya.

Rakannya, Awang Mahmud Hipni, 35, berkata, pengalaman mencari mang amat menyeronokkan, lebih-lebih lagi jika dilakukan secara berkumpulan.

“Setiap kali musim tengkujuh, saya pulang ke kampung dan akan keluar bersama rakan untuk mencari mang.

“Suasana meriah menangkap mang hanya akan dapat dirasai sepanjang musim tengkujuh saja.

“Kami akan menunggu hujan lebat terutama dengan kilat dan guruh. Sebaik saja cuaca reda, kami berlumba-lumba ke paya untuk mengutip mang. Ia pengalaman yang sangat hebat,” katanya.

Seorang peraih Bakeri Nordin, 47, berkata, keenakan mang menyebabkannya mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai, namun ia hanya boleh dijual secara kecil-kecilan.

“Jumlah mang ditangkap tidak banyak. Tidak cukup untuk dikomersialkan. Lagi pula ia hanya muncul ketika musim tengkujuh.

“Bagi nelayan, menangkap mang bukan sekadar menyeronokkan, tetapi juga mengembalikan nostalgia lama bersama rakan di kampung,” katanya.

“Justeru tidak hairan, jika ada yang sanggup bercuti dan pulang ke kampung semata-mata untuk keluar bersama sahabat handai dan rakan sekampung untuk mendapatkan udang ini,” katanya.

Mang atau nama saintifiknya thalassina anomala banyak ditemui di kawasan berpaya Sarawak dan Sabah.

Di Sabah, ia dikenali sebagai ngaong atau bengkela, manakala di Semenanjung ada yang memanggilnya udang ketok atau udang tanah.

Caption

1) MANG hanya muncul selepas hujan lebat

2) SEORANG penduduk mengutip mang yang keluar dari sarangnya

3) MENANGKAP mang lebih menyeronokkan jika dilakukan berkumpulan

4) MANG yang berjaya ditangkap

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 5:11 AM