HASIL belut diperoleh Awang selepas memasang  perangkap di kawasan sawah padi di Kampung Beris Tok Ku, Setiu.
HASIL belut diperoleh Awang selepas memasang perangkap di kawasan sawah padi di Kampung Beris Tok Ku, Setiu.
BERNAMA

Setiu: Lazimnya musim tengkujuh adalah 'tempoh berehat' bagi kebanyakan nelayan kerana cuaca buruk menyebabkan mereka tidak dapat keluar ke laut atau sungai untuk mencari rezeki seperti biasa.

Namun berlainan pula bagi Awang Sulong, 65, yang memanfaatkan masa terluangnya dengan mencari belut sawah sebagai sumber pendapatan alternatif ketika musim berkenaan.

Nelayan sungai dari Kampung Beris Tok Ku itu mampu meraih pendapatan hingga RM400 sehari hasil menjual belut sawah yang ditangkap di sekitar kawasan kampung tersebut.

Awang yang ditemani menantunya, Wan Zairi Wan Husin, 26, akan mula memasang perangkap yang diperbuat daripada paip PVC pada sebelah petang dengan menjadikan ikan rebus sebagai umpan.

AWANG (tengah) bersama Wan Zairi (kanan) dan Muhammad Amir menyiapkan perangkap.
AWANG (tengah) bersama Wan Zairi (kanan) dan Muhammad Amir menyiapkan perangkap.

"Esoknya pada jam 6.45 pagi, baru pergi ambil belut itu. Jumlahnya tidak menentu, paling sedikit lapan kilogram (kg), ada juga pernah dapat lebih 20 kg dalam masa sehari, bergantung kepada rezeki.

"Belut ini sentiasa ada di sawah namun jumlahnya meningkat mendadak pada musim tengkujuh. Jadi, rezeki lumayan untuk sesiapa sahaja yang rajin dan sanggup 'basoh jeruk' (basah kuyup) dalam hujan lebat," katanya.

Menurut Awang, belut hidup akan dijual kepada pemborong dan pemilik kedai makan pada harga RM18 sekilogram manakala belut yang sudah mati dijual hanya RM10 sekilogram.

Kegigihan warga emas tersebut mencari rezeki menarik perhatian anak muda kampung yang bekerja di syarikat petroleum dan gas, Muhammad Amir Rahimi Rosli, 31, untuk bermain lumpur dan hujan membantu Awang dan Wan Zairi menangkap belut setiap kali dia pulang bercuti.

HASIL belut ditempah pemilik kedai makan yang mahu menjadikan haiwan itu sebagai haiwan pameran di premis.
HASIL belut ditempah pemilik kedai makan yang mahu menjadikan haiwan itu sebagai haiwan pameran di premis.

Muhammad Amir Rahimi yang merupakan sahabat baik Wan Zairi berkata, beliau teruja dapat membantu dua beranak itu kerana belut lubuk rezeki mereka sepanjang musim tengkujuh.

"Saya bantu mereka iklankan jualan belut ini menerusi Facebook dan WhatsApp. Alhamdulillah, ramai tempah termasuk pemilik kedai makan yang mahu menjadikan belut itu haiwan pameran di premis mereka. Ia antara tarikan di kedai makan kerana pelanggan seronok dapat menikmati belut segar sebagai hidangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 6:30 AM