Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my

Tumpat: Sudah hampir dua minggu majoriti daripada 1,680 nelayan di kawasan Tumpat tidak turun ke laut berikutan keadaan laut bergelora dan hujan sejak beberapa hari lalu.

Situasi itu menyebabkan keadaan di dua lokasi pendaratan hasil laut iaitu di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Geting dan jeti LKIM Tanjung Che Mas, di sini, lengang akibat tiada pembeli.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Tumpat, Mohamed Shaam Abd Kadir berkata, situasi sebegitu dialami setiap penghujung tahun iaitu di musim tengkujuh dan hasil tangkapan berkurangan melebihi 50 peratus berbanding hari biasa.

"Biasanya musim tengkujuh hanya nelayan bot kelas A sahaja iaitu antara 600 hingga 700 orang akan turun ke laut bergantung kepada cuaca semasa.

"Bagaimanapun, sejak seminggu lalu, ramai tidak turun ke laut kerana keadaan laut bergelora menyebabkan hasil tangkapan berkurangan dan kompleks ini menjadi suram," katanya ketika ditemui di Kompleks LKIM Geting, di sini, hari ini.

MOHAMED Shaam (dua dari kiri) menunjukkan hasil tangkapan berkurangan berikutan nelayan tidak turun ke laut. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
MOHAMED Shaam (dua dari kiri) menunjukkan hasil tangkapan berkurangan berikutan nelayan tidak turun ke laut. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Beliau berkata, keadaan muara cetek di Sungai Golok yang menjadi laluan bot untuk keluar ke laut turut menjadi penghalang kerana ombak kuat akan berlaku.

Katanya, hasil tangkapan dibawa naik ke darat akan dijual terus kepada pembekal tanpa disimpan untuk jualan runcit kerana bekalan terhad.

"Situasi ini terpaksa dihadapi setiap tahun di musim tengkujuh, namun nelayan bernasib baik kerana elaun sara hidup nelayan dibentangkan dalam Belanjawan 2021 baru-baru ini ditambah daripada RM250 kepada RM300 sebulan," katanya.

Tinjauan di Kompleks LKIM Geting mendapati tiada langsung pengunjung datang membeli manakala hasil laut dijual tidak seberapa.

Nelayan, Hamid Musa, 60, yang menangkap ikan menggunakan sampan berkata, sudah dua minggu dia tidak keluar ke pesisir pantai berikutan amaran kerap pihak berwajib mengenai keadaan laut.

"Saya hanya bersampan dan memang tidak berani untuk turun menangkap ikan kerana sangat berisiko.

"Sepanjang musim tengkujuh ini saya hanya menjalankan kerja di darat sahaja dengan membantu tugas di kompleks ini sama ada menaikkan tangkapan ke darat atau membawa ikan ke pasar dengan menerima upah secara harian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 7:51 PM