Rizanizam Abdul Hamid


Kuala Lumpur: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memulakan perjalanan memandu kereta api lokomotif jenis Blue Tiger yang menjadi kegemaran baginda dari Kuala Lumpur ke Segamat, 9.51 pagi tadi.

Ketibaan baginda di Stesen Keretapi Kuala Lumpur pada jam 9.40 pagi disambut Presiden Keretapi Tanah Melayu berhad (KTMB) Lt Kol (B) Datuk Sarbini Tijan.

Sebelum memulakan perjalanan membawa kereta api khas enam gerabak tanpa penumpang itu, Ketua Unit Pelancongan dan Pengacaraan KTMB Mohd Noordin Kimi membacakan doa.

Sultan Ibrahim memandu kereta api itu dengan diiringi oleh dua pemandu lokomotif KTMB Mohd Kamal Asmawi dan Supawi Ismail dan dijangka tiba di Segamat pada 1 tengah hari.

Selepas itu, baginda akan berehat di dalam Koc Diraja sebelum pemanduan diambil alih pemandu lain yang akan membawa baginda sehingga tiba di Johor Bahru pada 4.45 petang.

Sepanjang perjalanan baginda mahu meninjau kebersihan dan keselamatan landasan.

Sultan Ibrahim memiliki lesen memandu kereta api kelas 26 pada 28 Jun 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2016 @ 10:51 AM
Sultan Ibrahim sebelum memulakan perjalanan. FOTO Asyraf Hamzah
Sultan Ibrahim sebelum memulakan perjalanan. FOTO Asyraf Hamzah