Mohd Rawi  menunjukkan lokasi  bayi lelaki yang dijumpai di Kota Bayu Emas, Klang.
Mohd Rawi menunjukkan lokasi bayi lelaki yang dijumpai di Kota Bayu Emas, Klang.
Oleh Fuad Hadinata Yaacob dan Ayusliza Azizan

Klang: “Biasanya, kawasan taman permainan ini ada anjing tetapi pagi tadi (semalam), seekor pun tak kelihatan. Kuasa Allah SWT yang menyelamatkan bayi itu daripada anjing dan haiwan berbisa,” kata Mohd Rawi Md Din, 53, saksi penemuan seorang bayi lelaki baru dilahirkan di taman permainan Kota Bayu Emas di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi, Mohd Rawi menemui bayi yang masih bertali pusat itu di lantai marmar taman permainan tanpa pakaian, malah kesan darah masih ada pada badannya.

Mohd Rawi yang juga Pengerusi Surau Kota Bayu Emas berkata, bayi itu ditemui lelaki warga asing yang melalui kawasan itu sebelum memaklumkannya kepada penduduk setempat.

“Ketika itu, saya dalam perjalanan membeli barang keperluan dan berpatah balik apabila dimaklumkan berkaitan penemuannya.

Ketika ditemui, bayi itu tidak menangis tetapi badannya dililit tali pusat berkenaan,” katanya.

Mohd Rawi menyifatkan bayi berkulit cerah itu kuat serta bertuah dan ia mungkin baru sejam ditinggalkan di situ.

Menurut Mohd Rawi, bayi itu diselimutkan sebelum dibawa dengan ambulans ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Azman Abdul Razak ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 9:40 AM