Raja Noraina Raja Rahim

Ampang: Dua helikopter yang terbabit dalam kemalangan udara di Taman Melawati, di sini, dipercayai dalam sesi latihan penerbangan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, polis akan mendapatkan laporan penuh daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dalam masa terdekat untuk maklumat lanjut.

Beliau berkata, helikopter terhempas itu dipercayai dipandu jurulatih penerbangan iaitu Leftenan Kolonel (B) Mohd Sabri Baharon, 56, bekas pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang turut maut.

"Manakala, seorang lagi mangsa yang maut adalah pelatih juruterbang iaitu Mohd Irfan Mohamed Rawi, 41.

"Manakala helikopter yang mendarat cemas dipandu Datuk Ahmad Jauhari Yahya, 66, bersama Tan Chai Eian, 56. Kedua-duanya hanya cedera ringan," katanya dalam sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

KELIHATAN keluarga mangsa, Dr Mohd Izani Mohamed Rawi (kiri) bersama adik-beradik yang lain ketika menanti jenazah Mohd Irfan Mohamed Rawi di Hospital Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
KELIHATAN keluarga mangsa, Dr Mohd Izani Mohamed Rawi (kiri) bersama adik-beradik yang lain ketika menanti jenazah Mohd Irfan Mohamed Rawi di Hospital Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias

Difahamkan, Ahmad Jauhari adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Bhd (MAS).

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, kedua-dua helikopter berkenaan dari syarikat sama, My Heli Club.

Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan DCA untuk mengenal pasti punca sebenar kemalangan udara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2020 @ 4:19 PM