MAYAT mangsa ditemui terbaring di dalam longkang berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur, kelmarin.
MAYAT mangsa ditemui terbaring di dalam longkang berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur, kelmarin.
Oleh Siraj Mohd Zaini

Kuala Lumpur: Seorang lelaki ditemui orang ramai mati terbaring di dalam longkang berhampiran susur keluar Pasar Borong Kuala Lumpur di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, mangsa berusia 40 tahun dan berasal dari Tanah Merah, Kelantan itu ditemui bertutup dengan kanvas berwarna putih oleh orang ramai.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, pasukan anggota polis dari Balai Polis Jinjang dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima aduan.

Menurutnya, dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang bersama ambulans dari Hospital Selayang turut tiba di tempat mayat ditemui.

“Pemeriksaan awal mendapati tiada kecederaan dan unsur jenayah pada badan si mati selepas mangsa diangkat keluar dengan bantuan anggota bomba.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayat dibawa ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Munusamy berkata semakan polis mendapati mangsa mempunyai tiga rekod jenayah lampau termasuk membabitkan penyalahgunaan dadah.

“Hasil bedah siasat menunjukkan mangsa mati disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru. Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 4:50 AM