ANGGOTA bomba mengangkat mayat wanita yang ditemui dalam  longkang di Jinjang Selatan, semalam.
ANGGOTA bomba mengangkat mayat wanita yang ditemui dalam longkang di Jinjang Selatan, semalam.
Norizuan Shamsuddin

Sentul: Dibunuh atau bunuh diri? Itu persoalan ditimbulkan susulan penemuan mayat seorang wanita dalam keadaan separuh bogel dalam takungan longkang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berdekatan pusat beli-belah Jalan Kepong, Jinjang Selatan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mayat mangsa yang mereput ditemui seorang pekerja kontraktor yang membuat pemantauan di tapak projek berdekatan.

Saksi kejadian segera memaklumkan penemuan mayat itu kepada polis.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, siasatan dilakukan anggota polis di tempat kejadian mendapati mayat terbaring dalam keadaan separuh bogel dalam longkang sedalam 15 meter.

“Polis mendapatkan bantuan daripada anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang bagi mengangkat mangsa ke atas tebing longkang.

“Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur dikerahkan ke lokasi bagi pemeriksaan lanjut sebelum mayat itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya.

Munusamy berkata, siasatan dilakukan bagi mengenal pasti sama ada kamera litar tertutup (CCTV) milik JPS di tepi sungai itu berfungsi.

“Kami cuba mendapatkan rakaman CCTV bagi siasatan lanjut.

“Siasatan dilakukan bagi mengenal pasti identiti wanita itu dan mengesan waris mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 6:26 AM