Kubu Raya: Usaha masih diteruskan untuk memadamkan kebakaran hutan seluas kira-kira 1,500 hektar di Terentang dan Sungai Durian di sini, walaupun menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan air selain keadaan cuaca panas.

Difahamkan, pasukan polis terpaksa menggali lebih 10 perigi besar bagi mencari sumber air bawah tanah dalam usaha memadamkan kebakaran di dua daerah terbabit.

Ketua Unit Anti Kebakaran Hutan dan Lahan Polis Daerah Kalimantan Barat (POLDA KALBAR) Suhadi Suwando berkata, keadaan kering dan ketiadaan punca air menyebabkan api merebak dengan pantas sehingga sukar dipadamkan.

Mereka terpaksa menggali perigi kerana air sungai di kawasan berhampiran tidak dapat digunakan kerana kering akibat kemarau.

“Kedudukan kawasan kebakaran juga jauh dari jalan utama dan hanya boleh dilalui melalui jalan air. Malah pasukan keselamatan terpaksa menaiki kenderaan selama dua jam serta berjalan kaki kira-kira dua kilometer untuk tiba ke lokasi kebakaran.

“Ia sememangnya menyukarkan kerja memadam kebakaran. Seramai 100 anggota POLDA ditempatkan di kawasan itu untuk memadamkan kebakaran dengan kerjasama beberapa agensi lain serta penduduk kampung,” katanya, semalam.

Titik panas di Kalimantan Barat ketika ini hanya di kawasan Kubu Raya dan Ketapang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 5:14 AM