ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran hutan gelam di Kampung Alur Jambu, Kuala Nerus. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran hutan gelam di Kampung Alur Jambu, Kuala Nerus. FOTO ihsan bomba
Hanneeyzah Bariah Baharin


KAWASAN hutan gelam dan belukar seluas lebih 13 hektar di Kuala Nerus musnah terbakar sejak petang semalam dipercayai akibat cuaca panas dan kering yang melanda ketika ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus Yusmizan Yusof berkata, kebakaran hutan gelam di Kampung Alur Jambu, Kuala Nerus itu membabitkan kawasan seluas tujuh hektar manakala kebakaran belukar di Jalan Gong Badak, Taman Desa Tanjung melibatkan kawasan seluas enam hektar.

Beliau berkata, kebakaran hutan di Kampung Alur Jambu dilaporkan berlaku sejak jam 6 petang semalam sebelum pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan oleh orang awam.

Katanya, kebakaran hutan gelam itu membabitkan kawasan seluas lima hektar sebelum merebak kira-kira dua hektar lagi akibat cuaca panas dan kering selain faktor angin kuat yang menyukarkan api dikawal dan dipadamkan.

“Sebaik menerima laporan, satu jentera dan tangki air dihantar ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran dan sehingga kini api di kawasan seluas lima hektar sudah berjaya dipadamkan dan berbaki dua hektar lagi.

“Usaha memadamkan kebakaran giat dilakukan dan kita turut menggunakan punca air berhampiran lokasi kejadian untuk memadamkan api,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selain itu, katanya, kira-kira lima hektar kawasan di Taman Desa Tanjung daripada keseluruhan enam hektar yang terbakar sejak tengah hari tadi sudah dipadamkan.

“Sehingga kini kita masih berusaha memadamkan kira-kira satu hektar kawasan yang masih terbakar selepas menerima laporan kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.

“Sebaik menerima panggilan, satu jentera dan tangki air dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu dihantar ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran,” katanya.

Menurutnya, orang ramai diminta memberi kerjasama supaya tidak membuang punca api seperti puntung rokok ke kawasan belukar atau hutan bagi mengelakkan kebakaran terutama ketika negara dilanda cuaca panas dan kering.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 9:40 PM