Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop dan Farah Suhaidah Othman


Hutan Melintang: Polis berkemungkinan akan mengambil masa kira-kira seminggu untuk mengenalpasti serta menyiasat sama ada kereta terbakar yang ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Samak, di sini, kelmarin, mempunyai kaitan dengan kehilangan Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pengesahan kereta yang terbakar dengan kaitan kehilangan individu itu mengambil masa lama disebabkan memerlukan pengesahan pakar dari Jabatan Kimia untuk mengenalpasti model kereta selepas nombor chasis kereta sudah hilang dipercayai dikikis.

Katanya, polis akan bekerjasama dengan Jabatan Forensik dan Jabatan Kimia untuk pengenal pastian dan sehingga kini tiada pengesahan berkaitan kereta dengan kehilangan individu itu.

"Semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul bersama Syarikat Spanco datang ke Balai Polis Hutan Melintang untuk membantu siasatan berkaitan kes itu kerana laporan kehilangan dibuat di Balai Polis Jinjang.

"Hari ini pula, Jabatan Kimia dan Jabatan Forensik akan datang untuk membuat perincian dan mengenalpasti sebarang bukti yang ada di dalam kereta berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 2:20 PM