Shah Alam: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bersedia sekiranya dipilih mengetuai pasukan bagi menjalankan siasatan terhadap bekas eksekutif PetroSaudi International, Xavier Andre Justo terhadap dakwaan cuba menjatuhkan kerajaan.

Selaku Ketua Polis Negara, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengetuai pasukan itu kerana ia adalah sebahagian tugasnya.

Menurutnya, polis akan menjalankan siasatan terhadap Justo mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan (KK) kerana cubaan menjatuhkan kerajaan dengan cara tidak demokrasi.

“Sekiranya saya dipilih mengetuai pasukan siasatan itu, ia tidak menjadi masalah kerana sebagai Ketua Polis Negara saya bersedia untuk mengetuai sebarang siasatan.

“Siasatan terhadap dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan sudah dimulakan polis sejak hari pertama perkara ini didedahkan Polis Thailand selain pendedahan bekas pengarang Sarawak Tribune, Lester Melanyi,” katanya pada Majlis Perasmian Polis Bantuan Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad di i-City, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 6:45 AM