KEADAAN kereta salah seorang mangsa yang remuk akibat kemalangan, malam tadi.
KEADAAN kereta salah seorang mangsa yang remuk akibat kemalangan, malam tadi.

Seremban: Tiga maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di atas jambatan Jalan Seremban-Kuala Pilah, berhampiran Bukit Putus, di sini, malam tadi.

Menurut sumber polis, dalam kejadian jam 9.36 malam, kereta dinaiki pasangan suami isteri berusia 63 dan 58 tahun dari arah Kuala Pilah menuju ke Seremban hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

Katanya, berikutan itu kenderaan terbabit merempuh sebuah kereta dinaiki seorang lelaki berusia 23 tahun yang dalam perjalanan menuju ke Kuala Pilah.

“Akibat pelanggaran itu, lelaki berusia 23 tahun berkenaan tercampak daripada keretanya dan maut di lokasi. Manakala warga emas berusia 63 tahun maut akibat tersepit dalam kenderaan.

“Sementara itu, isteri warga emas berkenaan pula meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini,” katanya.

Menurutnya, dalam kejadian itu, dua lagi mangsa menaiki sebuah kereta turut merempuh bahagian belakang kenderaan dinaiki lelaki berusia 23 tahun itu.

“Dua mangsa berkenaan setakat ini difahamkan parah,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 9:08 AM