Balik Pulau: “Hormat adat resam budaya Malaysia atau terima padahnya,” kata Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Dr Junaida Lee Abdullah mengenai insiden pelancong berbogel di puncak Gunung Kinabalu, bulan lalu.

Junaida berkata, pihaknya sentiasa menasihati semua pelancong yang datang ke negara ini agar menghormati adat resam dan budaya di Malaysia.

Beliau berkata, semua agensi pelancongan, pemandu pelancong serta semua pihak yang terbabit dalam industri ini diminta menasihatkan pelancong supaya tidak melakukan perkara kurang sopan.

“Semua pihak harus bertanggungjawab untuk memberi nasihat dan panduan kepada pelancong yang datang supaya tidak melakukan perkara kurang sopan seperti bergambar dalam keadaan berbogel dan sebagainya.

“Tindakan pelancong berbogel di atas Gunung Kinabalu, Mei lalu, adalah satu kes yang terpencil, namun ia tidak harus dipandang remeh oleh semua pihak,” katanya pada sidang media selepas perasmian Program Festival Homestay Durian Pulau Pinang 2015 di Teluk Bahang, di sini, semalam.

Sementara itu, Junaida turut mengulas berkenaan durian yang diimport dari negara jiran yang dipercayai direndam dengan bahan asing untuk menjadikan durian mereka lebih enak.

“Festival Homestay Durian 2015 yang berlangsung di sini bebas daripada bahan asing tersebut, malah pihak kami bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk memeriksa durian ini.

“Ia bertujuan bagi memastikan tiada durian yang diimport dari negara berkenaan dijual di gerai di festival ini,”katanya.

Beliau berkata, festival terbabit julung kali diadakan di sini kerana pihaknya ingin memperkenalkan Teluk Bahang sebagai salah satu destinasi pelancongan yang harus dilawati sekiranya melawat Pulau Pinang.

Junaida berkata, Teluk Bahang mempunyai 417 jenis flora dan 143 jenis fauna yang tidak terdapat di tempat lain.

“Di Teluk Bahang juga terdapat tempat penyu mendarat dan bertelur sepanjang tahun. Pelancong dapat melihat aktiviti ini secara dekat sekiranya melawat Pantai Keracut di Teluk Bahang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 9:24 AM