PENILAIAN teliti dilakukan pada setiap raja buah.
PENILAIAN teliti dilakukan pada setiap raja buah.
Nurul Husna Mahmud


SESUATU yang cukup mengujakan bagi penulis ketika pertama kali hadir dalam Kejohanan Durian Sedunia Edisi Malaysia 2022 di Bangi Golf Resort, baru-baru.

Kejohanan itu menyaksikan lebih 47 peserta berentap dan ia adalah acara paling menarik dalam Festival & Anugerah Durian BGR yang diperkenalkan sejak tahun 2018 dalam usaha mempromosikan segmen pelancongan dengan tarikan utama ialah 'raja buah'.

Dalam acara terbabit, kesempatan penulis bersama jurugambar New Straits Times Press (NSTP) Genes Gulitah, mengamati aksi 16 juri mengadili empat kategori dipertandingkan terutama durian premium seperti duri hitam dan musang king.

Kejohanan turut mendedahkan keistimewaan dua baka hibrid tempatan menjadi kegilaan peminat raja buah terbabit.

Menurut Ketua Juri Kategori Musang King, Lim Chin Kee, kualiti unggul buah durian berkenaan dinilai dari segenap aspek bermula dengan ciri - ciri luaran sehinggalah kepada tekstur dan rasanya.

"Mengenali ciri-ciri raja kunyit, mempunyai isi berwarna kuning pekat, durinya berjarak dan sedikit kembang sementara pangkal tangkainya tidak berduri serta garisan pangsa jelas pada kulit.

"Tekstur baik ialah isinya tebal tetapi memiliki rasa lemak krim dan hanya sedikit pahit membuatkan pengalaman setiap kali menikmatinya begitu mengasyikkan.

"Membuatkan durian ini lebih disukai kerana rasanya sesuai untuk semua palet lidah baik orang tempatan atau luar negara menikmati buah eksotik," katanya.

BAKA durian hitam antara durian termahal ketika ini kerana bekalan terhad dan permintaan tinggi.
BAKA durian hitam antara durian termahal ketika ini kerana bekalan terhad dan permintaan tinggi.

Bagi penganjur iaitu Kumpulan Syarikat Bangi (BGoC), keterujaan mengembalikan fiesta durian itu selepas pandemik sesuatu tidak dinafikan.

Malah BGoC menjadi perintis kepada resort percutian mewah atau hotel pertama yang membuka 'pintu' kepada konsep pelancongan berasaskan buah eksotik sehingga pernah disenaraikan sebagai Hotel dan Resort Pertama Mesra Durian dalam Malaysia Book of Records pada Julai 2019 atas langkah berani.

Menurut Pengarah BGoC, Soh Chung-Ky, penganjuran pesta terbabit mendapat perhatian kelompok pelancong yang unik iaitu peminat tegar buah yang sanggup merentas sempadan negeri atau negara bagi menikmati hasil terbaik.

"Penganjuran Festival & Anugerah Durian BGR yang menjadi acara tahunan sejak tahun 2018 namun terhenti seketika ketika pandemik, sering mendapat sambutan luar biasa.

"Bukan hanya dari pesaing dalam industri durian seperti Thailand, Indonesia dan juga pengimport Singapura, kelompok pelancong domestik sendiri antara potensi pasaran pelancongan berasaskan konsep raja buah ini.

"Untuk tahun ini tempahan bilik sepanjang acara berlangsung penuh apabila hotel berhampiran dibanjiri peminat durian dalam jumlah ramai," katanya.

LARIAN beragam dengan mengenakan busana bertemakan durian antara dianjurkan dalam festival terbabit.
LARIAN beragam dengan mengenakan busana bertemakan durian antara dianjurkan dalam festival terbabit.

Pihaknya menaruh harapan segmen pelancongan bertemakan raja buah itu menjadi antara satu produk terpenting dapat membantu menaikkan semula sektor pelancongan tempatan.

"Bagi fasa yang seterusnya, BGoC akan membangunkan pelancongan-agro yang akan membuka 'farm cube' dan pusat penyelidikan durian pertama dalam negara dan semestinya menjadi pemacu dalam industri pelancongan bagi terus menarik perhatian penggemar durian dari seluruh dunia.

"Menerusi semua inisiatif ini, objektif Bangi Farm Resort iaitu salah satu produk pelancongan di bawah BGoC iaitu ladang berkeluasan 12.1 hektar (30 ekar) mempunyai tumbuhan dan tanaman seperti pokok durian, avocado dan buah tin serta pelbagai jenis tanaman ulam-ulaman dapat mencapai status pusat sehenti durian di Bangi," katanya.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Sri Nancy Shukri berharap, usaha dilakukan penggiat industri pelancongan seperti hotel dan resort untuk memperhebatkan lagi pelancongan durian bagi membantu menarik kumpulan pelancong luar.

"Tidak dinafikan kualiti buah tempatan menjadi penarik pihak luar terutama kumpulan pelancong di rantau Asia datang seperti Hong Kong, Jepun, Korea mahupun dari Eropah seperti terbaru Russia untuk menikmati rasanya.

"Boleh dikatakan ini sesuatu yang baik bukan sahaja peringkat pengusaha industri perhotelan dan pelancongan semata-mata malah membabitkan peringkat umbi iaitu pekebun serta orang kampung yang mengusahakan atau menjual durian.

"Penganjuran festival secara sistematik dan menjadi acara tahunan boleh menjadi tarikan tambahan kerana aktiviti serta pengisian unik boleh disertai pelancong dalam mahupun luar negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2022 @ 6:13 AM