ANTARA pelancong asing yang direman untuk bantu siasatan.
ANTARA pelancong asing yang direman untuk bantu siasatan.

Kota Kinabalu: Empat pelancong asing yang dipercayai berbogel di puncak Gunung Kinabalu pada 30 Mei lalu, ditahan polis selepas seorang daripada mereka cuba melepasi pemeriksaan di Lapangan Terbang Tawau manakala tiga lain menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, kelmarin.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, polis yang menubuhkan pasukan khas untuk menjejaki kumpulan pelancong itu berjaya mengesan seorang daripada mereka di Tawau sebelum ditahan Jabatan Imigresen ketika cuba menaiki pesawat ke ibu negara.

“Tangkapan pertama membabitkan seorang wanita warga Britain berusia 24 tahun di Lapangan Terbang Tawau kira-kira jam 12 tengah hari semalam (kelmarin).

“Siasatan awal mendapati wanita ini mengaku melakukan perbuatan itu (berbogel) dan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, semalam.

Jalaluddin berkata, kira-kira jam 6 petang, kelmarin, tiga rakan mereka iaitu dua beradik dari Kanada dan seorang warga Belanda menyerah diri di IPD Kota Kinabalu.

“Tiga suspek adalah seorang wanita berusia 23 tahun dan pasangan adik-beradik lelaki berusia 22 dan 23 tahun.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan lucah di tempat awam yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya, polis masih mengesan beberapa individu yang dipercayai melakukan perbuatan itu dan yakin mereka masih berada di negeri ini.

Dalam pada itu, Jalaluddin berkata, seorang lelaki warga Jerman berusia 38 tahun yang ditahan di Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 8 Jun lalu, dibebaskan.

“Hasil siasatan mendapati lelaki terbabit tidak melakukan perbuatan lucah dan dibebaskan pada hari sama selepas percakapannya direkodkan,” katanya.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, empat pelancong asing ditahan direman selama empat hari sehingga Sabtu ini.

Mereka yang tiba kira-kira jam 9 pagi dengan berpakaian tahanan lokap berwarna ungu dihadapkan di hadapan Majistret Mohammad Faiz Omar.

Jurucakap polis berkata, mereka ditempatkan di Penjara Pusat di Kepayan sehingga siasatan selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 8:48 AM