Kebakaran memusnahkan hampir 70 peratus bas ekspres berkenaan.
Kebakaran memusnahkan hampir 70 peratus bas ekspres berkenaan.
Oleh Azma Razana Johari

Batu Kawan: “Mujur ada pemandu kereta yang prihatin memotong dan memberi isyarat kepada pemandu bas,” kata seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Azman, 25, menceritakan detik cemas sebuah bas ekspres yang terbakar di Kilometer 149.7, Lebuh Raya Utara - Selatan (PLUS) menghala selatan, di sini, semalam.

Menurutnya, dia sempat melihat pemandu kereta di belakang bas terbabit memecut dan memotong sebelum memberikan isyarat ada asap di bahagian enjin bas berkenaan.

“Pemandu bas itu memang tidak menyedari bahagian belakang bas berkenaan mengeluarkan asap dan selepas diberitahu dia memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan.

“Dia kemudian mengarahkan semua penumpang turun melalui pintu hadapan sebelum menghubungi bomba,” katanya.

Menurutnya, tidak lama selepas penumpang turun, api mula menyambar bahagian enjin sebelum marak dan membakar hampir keseluruhan bas.

Sementara itu, Penyelia Operasi Balai Bomba Perai Pegawai Bomba Kanan 2 Ismail Nor berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.26 pagi dan menghantar tiga jentera untuk memadam kebakaran.

Katanya, ketika sampai di lokasi, bas berkenaan sudah terbakar hampir 50 peratus, manakala 27 penumpang dan seorang pemandunya berjaya menyelamatkan diri.

“Tiada kecederaan dilaporkan dan bomba mengambil masa 10 minit untuk mengawal kebakaran,” katanya, semalam.

Menurutnya, kebakaran itu menyebabkan 70 peratus bahagian bas berkenaan musnah yang dipercayai berpunca daripada bahagian enjin.

“Bagaimanapun, semua penumpang bas berkenaan sudah meneruskan perjalanan mereka dengan menaiki bas gantian yang disediakan syarikat itu.

“Setakat ini, kita masih menyiasat untuk mengenalpasti punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2015 @ 5:22 AM