IBU bapa membawa anak mereka bercuti di Zoo Negara.
IBU bapa membawa anak mereka bercuti di Zoo Negara.

Kuala Lumpur: Ramai antara ibu bapa memanfaatkan cuti sekolah dua minggu yang bermula kelmarin untuk membawa anak mereka ke Zoo Negara dan beberapa lokasi lain di ibu negara semalam.

Kakitangan swasta Amran Abdul Rahman, 35, berkata, anaknya sering meminta untuk mengunjungi Zoo Negara selepas mendengar pengalaman menarik oleh rakan sebaya di sekolah.

“Disebabkan waktu kerja yang tidak menentu, saya buat keputusan untuk membawa anak ke Zoo Negara pada cuti sekolah kali ini supaya mereka boleh melihat sendiri pelbagai haiwan dan dapat berkongsi pengalaman bersama rakan mereka apabila naik sekolah nanti.

“Lagipun saya pun sudah lama tidak ke Zoo Negara dan ternyata tempat ini sudah banyak berubah dengan lebih banyak haiwan dan landskap yang menarik,” katanya ketika di temui, di sini, semalam.

Bagi Sazlin Abdul Khalid, 32, beliau menyifatkan Zoo Negara sebagai ‘penyelamat’ ibu bapa yang tidak berkesempatan untuk membawa anak bercuti ke luar negeri.

“Siapa yang tidak mahu bawa anak bercuti di luar negeri, namun kekangan cuti yang singkat membataskan pergerakkan ibu bapa.

“Mujurlah Zoo Negara sesuai untuk aktiviti keluarga kerana kawasannya yang lapang memberi ruang kepada orang ramai untuk berjalan bersama tanpa perlu bersesak,” katanya.

Tinjauan Harian Metro ke perkarangan Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) juga mendapati ramai ibu bapa yang membawa anak ke pusat beli-belah selain menyaksikan pancuran air di kawasan berkenaan.

G Gunasaran, 40, berkata, terdapat banyak tarikan di KLCC seperti Aquaria dan Petrosains yang boleh memenuhkan aktiviti cuti sekolah kanak-kanak di samping kemudahan pengangkutan awam yang disediakan banyak memudahkan pergerakkan jika ibu bapa memilih untuk bercuti di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2015 @ 8:40 AM