AKTIVITI bersama ketika musim cuti sekolah dapat rangsang emosi, fizikal ahli keluarga. - FOTO Pexels
AKTIVITI bersama ketika musim cuti sekolah dapat rangsang emosi, fizikal ahli keluarga. - FOTO Pexels
Hafiz Ithnin

[email protected]?

Nampaknya musim cuti sekolah bakal menjelma. Pasti ada antara ibu bapa atau penjaga mula merancang untuk percutian keluarga mereka bagi mengisi waktu senggang bersama insan tersayang

  Pastinya apabila terdapat waktu cuti sekolah dan diisi dengan pelbagai aktiviti bersama keluarga ia secara tidak langsung mampu membawa keceriaan kepada anak-anak selepas mereka 'kepenatan' memberi tumpuan sepanjang sesi pembelajaran.

  Ternyata membawa anak-anak bercuti memberi banyak manfaat kerana ia dapat merangsang emosi dan fizikal yang lebih baik terutama membabitkan kesihatan mental.

  Perkara itu dikongsikan Konsultan Psikologi Klinikal, Azlina Roszy Mohamad Ghaffar yang melihat perkembangan mental yang baik untuk kanak-kanak apabila ibu bapa atau penjaga memahami keperluan 'pengisian' kepada si kecil.

  Jelasnya, apabila ibu bapa atau penjaga membawa anak-anak mereka keluar untuk aktiviti beriadah mampu memberi manfaat kepada lima perkara utama dalam perkembangan psikologi manusia iaitu fizikal, emosi, mental, sosial dan intelektual.

  "Meskipun ada yang melihat aktiviti riadah bersama anak-anak hanya mengisi waktu lapang sahaja sebenarnya tidak tepat kerana ia amat membantu perkembangan psikologi yang baik untuk si kecil.

  "Kita lihat apabila anak-anak ini mempunyai pengisian pada waktu senggang yang baik ketika bercuti ia akan membabitkan kelima-lima aspek perkembangan positif kepada psikologi berbanding hanya dibiarkan bersendirian," katanya.

  Jelasnya, apabila membawa anak-anak bercuti atau mengadakan aktiviti keluarga ia sekali gus membabitkan pergerakan fizikal kerana si kecil perlu bergerak untuk mempersiapkan diri atau menbantu ahli keluarga yang lain melaksanakan hal berkenaan.

  "Begitu juga dengan emosi kita dapat memberi ketenangan kepada anak-anak yang sebenarnya jika dilihat jadual ketika tempoh pembelajaran mereka agak padat setiap hari bermula dari bangun dari tidur sehingga malam.

  "Malah ketika sesi pembelajaran bermula mental mereka sebenarnya sentiasa berfikir mengenai persediaan untuk menyiapkan diri dalam hal pembelajaran. Jika tidak diberi ruang untuk ditenangkan pada tempoh cuti sekolah, hal ini pasti memberi tekanan dan ia tidak baik untuk kesihatan mental pada masa depan," katanya.

  Katanya, apabila si kecil dibawa untuk bercuti aktiviti bersosial yang baik juga dapat diperoleh terutama mengeratkan hubungan kekeluargaan dan mengutuhkan rasa percaya dengan ahli keluarga yang lain.

MEMBAWA anak-anak mengisi waktu cuti dengan aktiviti riadah memberi kesan baik kepada perkembangan psikologi yang sihat. - FOTO Pexels
MEMBAWA anak-anak mengisi waktu cuti dengan aktiviti riadah memberi kesan baik kepada perkembangan psikologi yang sihat. - FOTO Pexels

JANGAN membiarkan kanak-kanak menggunakan gajet tanpa kawalan pada waktu cuti sekolah kerana khuatir memberi kesan ketagihan. - FOTO Pexels
JANGAN membiarkan kanak-kanak menggunakan gajet tanpa kawalan pada waktu cuti sekolah kerana khuatir memberi kesan ketagihan. - FOTO Pexels

  Jelasnya, hal ini penting supaya anak-anak yang masih belum matang pemikirannya dapat dibimbing dengan baik berbanding mereka hanya mempercayai rakan sebaya.

  "Kita sebenarnya khuatir jika anak-anak ini tidak mempercayai ahli keluarga mereka sendiri terutama ibu bapa atau penjaga kerana tidak mahu pemikiran mereka dipengaruhi oleh bimbingan yang tidak betul dan memberi kesan negatif kepada mereka, sama ada untuk jangka masa pendek atau panjang," katanya.

  Tambahnya, ibu bapa atau penjaga juga dinasihatkan supaya tidak memberi kebebasan kepada anak-anak untuk menikmati alam maya secara bebas pada musim cuti sekolah atas dasar ia adalah waktu senggang yang boleh dinikmati oleh kanak-kanak.

  "Perkara ini juga amat dikhuatiri apabila kanak-kanak ini ketagihan kepada dunia alam maya yang diketahui ia boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan diri dan mental serta kanak-kanak ini hidup bukan dalam dunia realiti.

  "Dari segi kesihatan diri sudah banyak dimaklumkan pakar perubatan bahawa menikmati waktu skrin peranti yang berpanjangan boleh merosakkan mata. Apatah lagi, jika ia dinikmati tanpa mengira masa termasuk pada waktu rehat. Badan mereka akan cepat letih dan tidak menjadi fokus," katanya.

  Mengulas mengenai kesan kepada menafikan dunia realiti katanya, dia pernah mendapat satu kes apabila kanak-kanak yang taasub kepada dunia maya mempercayai kenalan dalam talian yang mengajak untuk belajar ke luar negara.

  Malah, kanak-kanak itu menjadi tidak mahu mendengar nasihat apabila taasub kepada dunia khayalan itu.

  "Kes ini menunjukkan menikmati dunia maya secara berlebihan menjadikan kanak-kanak merasakan keseronokkan di dalam dunia itu adalah perkara yang realiti dan boleh dilaksanakan tanpa perlu mengambil kira hal-hal lain.

  "Jadi, pada waktu cuti sekolah kita juga perlu mengawal kanak-kanak ini daripada terlalu menikmati dunia maya kerana ia memberi kesan buruk kepada kesihatan mental mereka. Lebih memburukkan keadaan apabila mereka tidak mahu bersosial kerana melihat dunia maya adalah dunia bersosial yang realiti," katanya.

  Justeru, Azlina menasihatkan ibu bapa atau penjaga perlu mengambil kesempatan pada waktu cuti sekolah untuk bersama-sama dengan anak-anak menikmati dan melakukan aktiviti kekeluargaan kerana ia banyak memberi kesan positif kepada perkembangan elemen-elemen psikologi manusia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 7:01 AM