Kuala Lumpur: Kegunaan talian Nur perlu diperluaskan terutama bagi membantu wanita yang hamil anak tidak sah taraf mendapatkan bantuan.

Penganalisis jenayah Kamal Affendi berkata, wanita yang sanggup melakukan pembunuhan kejam terhadap bayi mereka ini tidak diberi pendedahan berhubung fungsi talian Nur atau Pusat Perlindungan Bayi ‘Baby Hatch’ di Petaling Jaya.

“Talian Nur 15999 bukan saja untuk membantu mangsa dera dan kanak-kanak, namun talian ini turut menyalurkan bantuan dari segi kaunseling serta perlindungan kepada wanita yang terlanjur.

“Selain itu ‘baby hatch’ atau Pusat Perlindungan Bayi adalah antara penyelesaian terbaik pernah diwujudkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menangani masalah pembuangan bayi,” katanya.

Menurutnya, bayi tidak sah taraf ini boleh ditinggalkan di pusat itu dengan selamat.

Sementara itu, pakar kriminologi Dr Mohammad Rahim Kamaluddin berkata, wanita yang mengalami kecelaruan kognitif akan cenderung membuang atau membunuh janin hasil perhubungan luar nikah.

“Kecelaruan kognitif merujuk kepada pemikiran tidak stabil atau terpesong kerana menganggap kesilapan itu terletak kepada bayi berkenaan dan bukan diri mereka.

“Wanita ini menganggap diri mereka ditipu oleh lelaki dan individu ini tidak mempunyai fikiran rasional hingga mendorong kepada perbuatan membuang atau membunuh kejam bayi dilahirkan” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2015 @ 5:27 AM