MUHAMMAD Firas Rayyan (kiri) dan Naura Eleena.
MUHAMMAD Firas Rayyan (kiri) dan Naura Eleena.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Petaling mencari waris kepada dua bayi yang diletakkan dalam Baby Hatch bagi membantu pihak mahkamah membuat keputusan penempatan semula.

Menurut kenyataan JKM, bayi berkenaan adalah Muhammad Firas Rayyan dan Naura Eleena berusia tiga minggu.

“Muhammad Firas Rayyan diletakkan dalam Baby Hatch di Pusat Jagaan Orphan Care pada 11 Januari lalu.

“Ketika ditemui bayi berkenaan masih bertali pusat dan diikat dengan benang yang dipercayai baru dilahirkan. Tiada sebarang dokumen ditemui dengan bentuk fizikal berkulit cerah, mata bulat dan berambut lurus,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Naura Eleena pula dipercayai berketurunan Afrika dan dipercayai baru berusia dua hingga tiga hari ketika diletakkan dalam Baby Hatch di Pusat Jagaan Orphan Care pada 7 Januari lalu.

“Bayi berkenaan ditinggalkan di depan pintu rumah di Apartment Harmoni Damansara Damai sebelum diletakkan dalam Baby Hatch dan ditemui masih bertali pusat.

“Naura dilahirkan tidak cukup bulan dan dipercayai berketurunan Afrika serta tiada sebarang dokumen ditemui ketika ditinggalkan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pelindung JKM Daerah Petaling, Mohd Nizam Mat Napi di talian 03-78422584 / 03-78422587.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 7:04 PM