Kota Kinabalu: Polis memperhebat usaha memburu seorang penjenayah yang dikehendaki berhubung kes melepaskan tembakan baru-baru ini dikenali sebagai ‘Mat Malaya’ yang disyaki berada di Tawau.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abd Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kehadiran suspek yang dikatakan menaiki sebuah kenderaan di satu lokasi berhampiran daerah berkenaan sebelum dilaporkan menghilangkan diri, Rabu lalu.

“Saya sahkan kita ada menerima maklumat berhubung kehadiran ‘Mat Malaya’ di Tawau sebelum satu operasi dijalankan di daerah berkenaan bagi memburunya.

“Ketika operasi dijalankan, kami mengesyaki individu itu adalah Mat Malaya berdasarkan raut wajah dan maklumat kereta yang digunakannya, namun dia dapat melarikan diri,” katanya.

Difahamkan, kelibat suspek dikesan di kawasan Jalan Chen Fook, Tawau, kira-kira jam 9 pagi, Rabu lalu, sebelum dia meloloskan diri sebaik dihampiri polis.

“Setakat ini, kami hanya mengesyaki individu itu adalah suspek diburu.

“Selagi suspek tidak ditangkap, kami tidak dapat sahkan individu itu Mat Malaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2015 @ 5:26 AM