RAKAMAN CCTV yang tular di media sosial.
RAKAMAN CCTV yang tular di media sosial.
Hasbi Sidek


POLIS sudah mengenal pasti identiti suspek yang memukul dan menyamun seorang wanita di dalam lif dekat Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras, Khamis lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya sudah mendapatkan beberapa maklumat lelaki berkenaan dan kini dalam usaha memburunya.

“Suspek dikenalpasti sebagai lelaki warga tempatan. Kami sudah mengenalpasti identitinya.

“Pada hari sama kami mendapati suspek juga menyamun sebuah kedai serbaneka berhampiran stesen MRT terbabit sebelum mengikut wanita berkenaan ke dalam lif dan terus memukulnya,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan semakan terhadap kamera keselamatan di premis serbaneka dan MRT, pihak polis dapat mengenalpasti suspek.

Khamis lalu, mangsa berusia 48 tahun itu dikatakan berada dalam lif berkenaan bersama suspek sebelum dibelasah dan disamun lelaki itu.

Suspek melarikan dompet mangsa yang mengandungi kad pengenalan, kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan wang tunai berjumlah RM400.

Akibat kejadian itu, mangsa cedera di dahi dan badan serta dirawat di sebuah hospital.

Berita berkaitan

Ganjaran RM10,000 buru penyamun MRT

Belasah, samun dalam lif [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 4:41 PM