HIRAO diiringi anggota polis selepas ditangkap di Hiroshima semalam. - AFP
HIRAO diiringi anggota polis selepas ditangkap di Hiroshima semalam. - AFP

Tokyo: Seorang banduan yang melarikan diri dari sebuah pulau yang dijadikan penjara terbuka di Jepun akhirnya ditangkap semalam selepas tiga minggu diburu membabitkan 15,000 anggota polis dan pelbagai aset canggih.

Tatsuma Hirao, 27, dipenjarakan dipulau itu atas pelbagai kesalahan termasuk kes curi, ditahan di jalan raya berhampiran stesen kereta api Hiroshima di barat Jepun, kata jurucakap polis.

Dia ditangkap kira-kira 70 kilometer dari barat pulau Mukaishima, yang menyaksikan polis menggunakan helikopter, dron, anjing polis dan pengesan infra merah untuk memburunya.

Ratusan pegawai polis dihantar ke pulau berkenaan setiap hari untuk memburunya dengan jumlah keseluruhan dilaporkan mencecah 15,000 sejak awal April, lapor media.

Hirao memberitahu penyiasat dia melarikan diri dari pulau itu dengan berenang menyeberangi laut, menurut stesen penyiar NHK.

Rakaman televisyen menunjukkan Hirao, yang tidak bercukur dan memakai baju hitam, dibawa oleh beberapa pegawai ke kenderaan polis.

Kes itu menjadi tajuk utama berita di Jepun dengan saluran televisyen membuat laporan terperinci ketika usaha memburunya.

Hirao hilang daripada kemudahan itu, iaitu penjara terbuka yang membolehkan banduan berjalan-jalan di sekitar pulau dengan bebas pada 8 April lalu.

Polis mengesan cap jari Hirao dalam beberapa kes kecurian yang dilaporkan sejak dia melarikan diri.

Menteri Kehakiman Jepun, Yoko Kawakami turut memohon maaf di atas kesukaran menangkap semula penjenayah itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 4:35 AM