ANGGOTA  polis memeriksa kereta  yang terbabas  dalam parit di Jalan Kuala Ketil di Bukit Selambau, semalam.
ANGGOTA polis memeriksa kereta yang terbabas dalam parit di Jalan Kuala Ketil di Bukit Selambau, semalam.
Oleh Omar Osman

Sungai Petani: Seorang lelaki dipercayai berusia lingkungan 20 tahun sanggup meninggalkan dua rakannya dengan seorang daripadanya meninggal dunia selepas kereta mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Kuala Ketil di Bukit Selambau, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku jam 5.30 pagi di kawasan selekoh apabila kereta Toyota Vios dinaiki tiga lelaki terbabit dari Kuala Ketil hilang kawalan dan terbabas ke dalam parit.

Sumber berkata, pemandu kereta, Sharizan Yahya, 34, maut akibat cedera parah di kepala manakala rakannya, Mohd Amin Ishak, 25, parah pada badan.

Katanya, siasatan awal mendapati seorang lagi penumpang kereta disyaki cedera ringan melarikan diri dengan meninggalkan kedua-dua rakannya itu.

“Kejadian disedari orang ramai jam 5.45 pagi yang menghubungi polis untuk tindakan lanjut. Pemandu kereta didapati meninggal dunia dan tersepit di tempat duduk sebelum dikeluarkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani.

“Penumpang yang parah pula dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, untuk menerima rawatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Khalil Arifin berkata, polis mengesan seorang lagi penumpang dipercayai melarikan diri selepas kejadian.

“Pada masa ini, polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti pemilik sebenar kereta Toyota Vios itu kerana tidak menemui cukai jalan selain nombor pendaftarannya juga hilang,” katanya.

Sementara itu, kakak kepada Sharizan, Noriah, 39, berkata, dia terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada adiknya memberitahu arwah terbabit dalam kemalangan dan ‘pengsan’ di dalam keretanya.

Katanya, sebelum kejadian itu, arwah yang tinggal bersama ibunya, Che Kiah Ali, 65, di Kampung Sungai Gajah, Bukit Selambau dikatakan keluar jam 10 malam kelmarin dan sempat menelefon adiknya supaya mengambil mi goreng yang dibeli.

“Arwah menghubungi ibu jam 4 pagi memaklumkan pulang ke rumah tidak lama lagi, namun terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada adik memberitahu arwah terbabit dalam kemalangan,” katanya.

Dia berkata, ibunya memberitahu arwah turut mengemas termasuk melipat katilnya malah melepaskan beberapa burung peliharaannya.

“Selain itu, arwah turut menziarahi kakaknya di Sungai Lalang beberapa hari lalu dan membeli baju untuk rakan baiknya. Tiada siapa sedar perubahan itu kecuali ibu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSAH, di sini.

Katanya, mereka sekeluarga tidak menyangka arwah akan pergi buat selama-lamanya, namun reda dengan apa yang berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 5:00 AM