ORANG ramai membantu mangsa cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 13.8 Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil berhampiran Kampung Jerong, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
ORANG ramai membantu mangsa cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 13.8 Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil berhampiran Kampung Jerong, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Nor Farhani Che Ad


LELAKI warga emas bersama empat cucunya cedera selepas van dinaiki mereka dirempuh kenderaan lain di Kilometer 13.8 Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil, berhampiran Kampung Jerong, Sungai Petani, hari ini.

Dalam kejadian 1.45 tengah hari itu, Mat Saad Hussein, 73, memandu van itu selepas mengambil empat cucunya dari Sekolah Kebangsaan (SK) Dataran Muda, Bukit Selambau.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, ketika kejadian, van terbabit dari arah Kuala Ketil ke Sungai Petani.

“Apabila tiba di tempat kejadian, sebuah kereta dari arah bertentangan yang dipandu laju hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan jalan.

“Kejadian itu menyebabkan kereta terbabit bergesel dengan van berkenaan lalu kedua-duanya terbabas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan, seorang penumpang van, Nur Fatin Najwa Zakaria, 12, patah tangan kanan.

Menurutnya, pemandu van serta tiga penumpang van lain iaitu Afifah Mohd Nazer, 11, Nur Yusrina Amani Zamri, 10 dan Diafatiha Abdullah, 7, cedera ringan manakala pemandu kereta berusia 31 tahun turut cedera ringan.

“Semua mangsa cedera dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Nur Yusrina berkata, ketika kejadian dia dapat melihat kereta berwarna oren melanggar van datuknya sebelum van itu terbalik.

“Bila van tok wan dilanggar, saya dengar tok wan sebut ‘Allahuakbar’ sebelum van terus terbalik beberapa kali.

“Selepas van terbalik, saya berusaha keluar sendiri melalui tingkap van walaupun ketika itu saya berasa sakit di tangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 6:22 PM