Anggota polis melakukan siasatan di tempat kejadian dan menguruskan mayat bayi ditemui untuk dibawa ke hospital. FOTO Muhammad Mikail Ong
Anggota polis melakukan siasatan di tempat kejadian dan menguruskan mayat bayi ditemui untuk dibawa ke hospital. FOTO Muhammad Mikail Ong
Oleh Hadzlihady Hassan

Perai: Mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui dibuang di depan Masjid Al Hidayah, Jalan Baru, Permatang Pauh, di sini.

Mayat cukup sifat itu ditemui oleh orang awam pada 1 petang tadi sebelum mereka menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah Asisten Komisioner Rusli Mohd Nor berkata, mayat bayi terbabit disumbat dalam plastik sampah hitam dan ditinggalkan di atas penutup konkrit longkang.

"Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan individu yang membuang mayat bayi berkenaan.

"Mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi, petang tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 3:15 PM