ANGGOTA polis memeriksa mayat bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan yang ditemui di perhentian bas dekat flat di Bukit Permai, Ampang, semalam. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.
ANGGOTA polis memeriksa mayat bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan yang ditemui di perhentian bas dekat flat di Bukit Permai, Ampang, semalam. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.
Nurul Hidayah Bahaudin


MAYAT bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemui di perhentian bas dekat flat di Bukit Permai, Ampang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 6.40 petang yang memaklumkan menemui bungkusan plastik mengandungi bayi berkenaan.

“Berdasarkan keterangan saksi iaitu seorang remaja perempuan berusia 14 tahun memberitahu ternampak beg plastik mencurigakan kerana terdapat objek seakan tangan bayi ketika tiba di perhentian bas berkenaan.

“Pemeriksaan dilakukan pegawai perubatan Hospital Ampang mengesahkan bayi terbabit sudah meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Siasatan awal pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mendapati bayi itu tidak mempunyai tali pusat dan dimasukkan ke dalam plastik berwarna putih serta hitam sebelum ditinggalkan di lokasi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, mayat bayi berkenaan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan lanjut berhubung kes itu sedang giat dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat bayi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2019 @ 12:37 AM