Anggota forensik  memeriksa rumah yang terbakar di Pekan Rantau.
Anggota forensik memeriksa rumah yang terbakar di Pekan Rantau.
Oleh Khairul NajibAsarulah Khan

Seremban: “Kalau ikutkan hati, saya mahu meredah api untuk menyelamatkan barangan berharga, tetapi hasrat itu dihalang saudara,” kata penduduk, Chong Aik Lan, 73, yang bersedih apabila rumahnya di Pekan Rantau, hangus terbakar, kelmarin.

Chong berkata, dalam kejadian jam 6.30 petang itu, dia tiada rumah kerana mengutip barangan terpakai di kawasan berhampiran.

“Hanya anak sulung yang juga pesakit Sindrom Down, Wong Shee Sang, 45, berada di rumah ketika kejadian.

“Saya berada 10 meter dari lokasi kejadian dan dapat melihat asap tebal serta api membakar rumah.

“Saya bergegas pulang kerana bimbangkan keselamatan anak. Mujur ketika itu anak saya (Wong) mampu keluar sendiri selepas menyedari kebakaran berlaku,” katanya.

Menurut Chong, dia cuba menyelamatkan beberapa barangan berharga namun tindakannya dihalang ahli keluarga lain di lokasi.

Katanya, rumah itu hangus terbakar dan kerugian dianggarkan lebih RM30,000.

“Rumah saya sudah musnah dan kini saya serta anak menumpang di tokong berhampiran,” katanya memaklumkan memiliki lima lagi anak yang menetap di Kuala Lumpur dan Seremban, dekat sini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Senawang, Mohamad Faiz Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.47 petang dan mengerahkan 11 anggota berserta dua jentera ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba 30 minit kemudian, api marak membakar kediaman berkenaan yang menyaksikannya musnah 100 peratus.

“Bagaimanapun, api dapat dikawal sepenuhnya 15 minit kemudian. Punca kejadian dan nilai kemusnahan masih disiasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 9:19 AM