Kuala Lumpur: Menjelang 2025, Kementerian Pendidikan berhasrat meningkatkan peratusan enrolmen pendidikan tinggi sehingga 70 peratus bagi mencapai tahap tertinggi dan setara di peringkat ASEAN.

Hasrat ini bagaimanapun memerlukan pertambahan tempat pengajian sebanyak 1.1 juta terutama dalam bidang latihan dan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), institusi pengajian tinggi swasta (IPTs) dan pembelajaran dalam talian (online).

Mengikut laporan Ringkasan Eksekutif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT), pada 2012, jumlah tempat pengajian yang ditawarkan di Malaysia hanyalah 1.4 juta atau 48 peratus enrolmen.

Jumlah ini dihasratkan melonjak kepada 2.5 juta atau 70 peratus menjelang 10 tahun akan datang.

Daripada jumlah itu, kementerian menyasarkan 867,000 adalah enrolmen IPTS diikuti 764,000 universiti awam (UA), 655,000 institusi TVET dan 205,000 merangkumi Institusi Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Matrikulasi.

Bagaimanapun, pertambahan itu ditentukan dengan kerjasama erat bersama industri untuk memastikan penawaran adalah sepadan dengan permintaan.

Langkah ini secara tidak langsung menjadikan masalah pengangguran dalam kalangan graduan dapat diatasi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 8:29 AM