Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi)-PPPM (PT) 2015-2025 sebagai persediaan melahirkan bakal graduan bersepadu yang mampu menangani perubahan krisis global dengan baik dalam tempoh 50 tahun akan datang.

Menurut Profesor Ulung Negara Tan Sri Dr M Kamal Hassan, PPPM (PT) yang bakal dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 7 April ini adalah pelan yang sangat menepati dan melengkapkan keperluan graduan supaya mampu menangani kegawatan yang berlaku kepada dunia dalam tempoh 50 tahun akan datang.

“Kita harus melihat masa depan negara dalam konteks perubahan global yang saya kira tidak semua positif, malah kita harus memikirkan senario pada masa depan sangat mencabar yang dianggap sesetengah pemerhati sebagai satu era kekecohan dan penuh krisis.

“Dalam tempoh 30 hingga 50 tahun akan datang, kita akan dapat melihat kegawatan dari segi krisis ekonomi, perbankan, alam sekitar termasuk pemanasan global, masalah udara, air, moral, politik serta kekecohan dalam kehidupan politik dunia dan perubahan geopolitik yang memerlukan ia ditangani dengan baik.

“Saya menyokong lonjakan satu ini, saya kira terpenting kerana ia hasil produk daripada pembaharuan yang dilakukan dalam pelan ini dan bagaimana graduan ini akhirnya dapat menjadi faktor penyelesaian masalah kepada masa depan negara kita nanti,” katanya.

Beliau yang juga Profesor Ulung Institut Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam (ISTAC) berkata, PPPM (PT) yang dirancang mengambil kira dan menyelitkan keutuhan sifat kerohanian dalam diri pelajar supaya bakal graduan dihasilkan mempunyai kesedaran tanggungjawab kepada negara dan perkara yang berlaku di sekeliling mereka.

Menurutnya, gabungan aspek moral, kerohanian, akademik, keterampilan, profesionalisme dan keusahawanan yang diletakkan dalam pelan ini mampu meningkatkan kualiti graduan dalam pelbagai aspek termasuk memupuk jati diri menjadi warganegara yang mampu menonjolkan sifat murni walaupun berada di negara luar.

“Sudah sampai masanya Malaysia melaksanakan pelan yang bagus untuk menyiapkan graduan dengan cabaran mendatang.

“Pada dasarnya, memang ini satu usaha membawa perubahan sangat besar dan baik di mana pemikir di peringkat Kementerian Pendidikan merasakan aspek moral, rohani, agama dan pembentukan sahsiah ini perlu digabungkan dengan aspek kognitif, teknologi, saintifik dan profesional dalam pelan ini.

“Sekarang pendidikan tinggi mahu lahirkan insan bersepadu bukan saja pintar dari segi ekonomi, tetapi peka dengan nilai kemanusiaan, tanggungjawab kepada alam sekitar, manusia dan orang kurang upaya dan sebagainya,” katanya.

Katanya, menerusi penerapan PPPM (PT), graduan akan datang mampu menjadi pemimpin bukan sekadar pencari kerja tetapi pemimpin yang dapat menangani atau kurangkan krisis ini daripada jadi masalah besar kepada masyarakat.

“Kita mempunyai masyarakat berbilang bangsa dengan pelbagai agama yang mementingkan aspek kerohanian dan etika,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 8:13 AM