Oleh Mahaizura Abd Malik
mahaizura@@hmetro.com.my

Bangi: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi)- PPPM (PT) 2015-2025 akan melengkapkan lagi institusi pengajian tinggi (IPT) negara ini sebagai sebuah institusi yang menepati kehendak dan keperluan masa depan.

Pelan yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 7 April ini akan melahirkan graduan serba boleh dan tidak hanya tertumpu kepada satu aspek saja iaitu akademik.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali menyifatkan PPPM (PT) adalah satu kesinambungan yang mentransformasikan pelan terdahulu dalam mewujudkan sistem pendidikan lebih berkualiti kepada masyarakat.

“Transformasi pelan ini selaras dengan hasrat Malaysia menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi, ini bermakna untuk jadi negara sebegitu, paling penting kita mesti mempunyai modal insan hebat yang mampu menyokong dan mengendalikan aktiviti dijalankan pada masa akan datang.

“Pelan ini menyatukan semua pihak apabila ia memastikan warga IPT tidak terpisah dengan kelompok masyarakat atau sektor lain yang turut menyumbang kepada pembangunan modal insan.

“Pelaksanaannya adalah tanggungjawab semua pihak yang perlu menggembleng tenaga untuk memastikan kemenjadian graduan mengikut kehendak industri masa depan contohnya kalau saya mengajar perbankan, pelajar mesti didedahkan dengan kepakaran dari pihak industri perbankan untuk berkongsi idea dan pengalaman.

“Ini bererti sistem pendidikan kita mesti menjadi ‘partnership friendly’ iaitu lebih mesra dengan sektor atau pihak lain di mana perkongsian perlu ada antara industri dan masyarakat sekeliling selain penyelidikan di IPT mesti disasarkan dengan keperluan di luar sana,” katanya.

Beliau berkata, PPPM (PT) ini juga selaras dengan perubahan zaman untuk memastikan ia terus relevan dalam melahirkan modal insan menepati kehendak industri.

“Dalam konteks umpamanya mewujudkan ekosistem inovasi, hari ini kita mesti meletakkan inovasi dan kreativiti sebagai satu yang pokok (penting) dalam semua aktiviti kita.

“Kalau dulu mungkin penekanan lebih kepada penyampaian ilmu, tapi hari ini kita mesti mengambil peranan dalam pembentukan karektor graduan di mana contohnya kalau mahu mewujudkan graduan usahawan, kita mesti bentuk mereka ke arah nilai seorang usahawan.

“Jadi saya rasa jelas mengapa satu daripada anjakan diperkenalkan dalam pelan ini ialah memartabatkan pendidikan teknik dan vokasional (TVET) untuk menyeimbangkan penghasilan modal insan yang lebih berkualiti dalam semua aspek yang memenuhi kehendak industri,” katanya.

Menurutnya, beliau yakin setiap IPT mampu menyokong dan menjayakan misi ini dengan melaksanakan kerangka strategi yang terdapat dalam IPT masing-masing sebaik pelan ini dilancarkan bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 10:30 AM