KEPUTUSAN SPAD menaikkan kadar baru tambang bas ekspres dan teksi dipertikai pelbagai pihak.
KEPUTUSAN SPAD menaikkan kadar baru tambang bas ekspres dan teksi dipertikai pelbagai pihak.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU) berpendapat kenaikan kadar tambang bas ekspres, teksi dan komuter yang diumumkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), kelmarin terlalu tinggi.

Setiausaha Agung TWU Tan Sri Zainal Rampak berkata, kenaikan keseluruhan teksi bajet 25 sen bagi jarak setiap 200 meter (m) dan 25 sen bagi masa setiap 36 saat membebankan rakyat dan pengguna kerana sangat tinggi, begitu juga dengan kadar bagi perkhidmatan bas ekspres dan kereta api.

“Keseluruhan kenaikan diumumkan SPAD tidak mengambil kira kepentingan pengguna dan rakyat miskin serta berpendapatan rendah yang menggunakan pengangkutan awam seperti teksi bajet, bas ekspres dan kereta api sebagai pengangkutan utama dalam keadaan ekonomi negara tidak menentu pada masa kini.

“Purata pendapatan rakyat terutama dalam kalangan miskin tegar dan pekerja tidak meningkat dan kenaikan gaji purata termaktub dalam Perjanjian Bersama antara majikan, kesatuan dan keputusan Mahkamah Perusahaan dengan purata kenaikan tahunan sebanyak lima peratus setahun,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, pihaknya bersetuju mengenai keperluan menaikkan tambang, namun ia tidak seharusnya terlalu tinggi dan membebankan rakyat, tambahan pula mereka perlu menanggung beban daripada dasar pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang berkuat kuasa 1 April ini.

Katanya, pada keseluruhannya, TWU berasa kesal terhadap kenaikan mendadak tanpa mengambil kira kepentingan dan kemampuan rakyat untuk membayar tambang begitu tinggi.

“Saya tidak tahu sama ada SPAD mengambil kira semua aspek kemampuan rakyat dalam meluluskan kenaikan yang diumumkan.

“Malah, saya juga tidak tahu sama ada kenaikan ini akan menjadikan perkhidmatan teksi dan bas ekspres bertambah baik atau sebaliknya,” katanya.

Dalam pada itu, Zainal berkata, SPAD harus bertanggungjawab memastikan kenaikan yang diluluskan selain menjadikan pengangkutan awam teksi dan bas ekspres perkhidmatan kelas pertama atau terbaik.

“Bagi pengusaha bas ekspres dan teksi, TWU menjelaskan dengan kenaikan ini syarikat tidak lagi boleh berdolak-dalik dalam melaksanakan gaji minimum dan membayar gaji berpatutan selaras dengan kenaikan kos sara hidup.

“Ia bukan bermakna TWU mengambil kesempatan atas kenaikan ini dengan meminta gaji berpatutan, tetapi kita mengambil kira kepentingan dan beban ditanggung rakyat dalam mengharungi keadaan sosioekonomi mencabar dalam negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 9:34 AM