Oleh Yusmizal Dolah Aling dan Aizat Sharif

Kuala Lumpur: “Kita perlu tunggu dalam tempoh enam bulan untuk melihat adakah kenaikan ini wajar atau sebaliknya kerana ia adalah permintaan sejak tahun 2013.

“Kita mohon kenaikan pada masa itu berdasarkan situasi ekonomi semasa. Selepas dua tahun, baru ada kenaikan dan pengusaha akan buat rumusan dalam tempoh enam bulan lagi untuk tengok bagaimana hasilnya. Kita tidak tahu apa akan jadi dalam tempoh itu,” kata Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali.

Katanya, masih terlalu awal untuk pihaknya merumuskan sama ada kenaikan yang diumumkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat SPAD relevan atau tidak kerana banyak faktor lain perlu dipertimbangkan.

Katanya, ketika ini, harga bahan api yang tidak lagi diberi subsidi kerajaan juga menentukan prestasi industri pengangkutan awam di negara ini selain kemungkinan berlaku perubahan di dalam harga barang ganti selepas pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) awal April ini.

“Saya tidak boleh beri reaksi memihak atau membantah. Apa yang boleh saya katakan, kami pengusaha perlu tunggu dan lihat kerana dari segi psikologi, banyak yang perlu diambil kira termasuk kemungkinan kenaikan harga sewaan, gaji pekerja dan kelemahan nilai ringgit ketika ini,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, pengusaha teksi menggesa supaya satu semakan kadar tambang teksi dapat dilaksanakan setiap lima tahun sekali menggunakan mekanisme tertentu agar satu situasi ‘menang-menang’ dapat dicapai antara kerajaan dan pengusaha teksi di negara ini.

Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Bumiputera (PERBUMI) Datuk Mohd Alias Abdul berkata, tiada satu tempoh yang tetap terhadap semakan tambang teksi dilakukan di negara ini menyebabkan ada pemandu teksi yang mengambil kesempatan terhadap situasi ini.

“Kita cuba untuk mewujudkan satu situasi ‘menang-menang’ bersama kerajaan serta mengambil kira nasib penumpang namun sistem ini perlu dilakukan setidak-tidaknya lima tahun sekali menggunakan mekanisme atau kaedah tertentu yang ditentukan kerajaan berdasarkan perkembangan semasa,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, usaha itu perlu dalam usaha untuk melonjakkan kualiti sistem pengangkutan awam di negara ini.

Beliau menambah semakan kenaikan ini perlulah tidak melebihi 30 peratus kerana ia menyebabkan orang ramai tidak mahu menggunakan kenderaan awam seperti teksi.

“Kita menyokong semakan kenaikan tambang baru teksi ini tetapi biarlah kenaikan itu tidak lebih daripada 30 peratus kerana kita bukan sahaja mahu semua pengusaha teksi terutamanya Bumiputera mengambil manfaat daripada kajian kenaikan ini tetapi kita juga mahu pelanggan tidak terbeban dengan kadar itu,” katanya kepada Harian Metro.

Semalam, SPAD mengumumkan semakan tambang baru teksi dan bas ekspres seluruh Malaysia yang berkuatkuasa pada 1 April nanti.

Menerusi kadar tambang baru itu, perkhidmatan teksi mengalami kenaikan antara RM1 hingga RM8 bagi perjalanan antara lima kilometer hingga 10 kilometer manakala kenaikan antara RM4 hingga RM11 pula dialami ke atas perkhidmatan bas ekspres untuk setiap destinasi utama di Semenanjung Malaysia.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Tan Sri Syed Hamid Albar berkata penyelarasan kadar tambang itu dibuat selepas mengambil kira keperluan pihak pengusaha yang terbeban dengan kenaikan harga barang serta kepentingan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:42 AM