Seremban: Pengumuman kenaikan tambang teksi, kereta sewa dan bas ekspres oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), semalam, memberi khabar gembira buat pengusaha, namun tidak bagi pengguna perkhidmatan awam itu.

Kenaikan tambang diumumkan berkuat kuasa serta-merta bagi teksi dan kereta sewa iaitu antara 20 hingga 67 peratus, manakala mulai 15 Mei depan, tambang bas ekspres akan naik 22.6 peratus.

Tinjauan di Perhentian Bas dan Teksi Terminal One, di sini, mendapati pengguna melahirkan rasa kecewa berhubung kenaikan tambang yang disifatkan membebankan mereka.

Penuntut Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), Siti Khadijah Hamin,22, berkata, kenaikan tambang pengangkutan awam termasuk bas ekspres disifatkan tidak tepat pada masanya.

“Sebagai pengguna utama pengangkutan awam, saya merasakan kenaikan ini membebankan pelajar dan golongan kurang berkemampuan.

“Saya sendiri sanggup menaiki komuter ke Seremban sebelum menaiki bas ke Segamat, Johor dan bukan menaiki bas di TBS (Terminal Bersepadu Selatan) semata-mata untuk jimat,” katanya.

Penuntut Politeknik Port Dickson (PPD), Muhammad Syafwan Muzaimi, 19, berkata, setiap bulan dia menggunakan perkhidmatan bas ekspres.

“Saya sering menaiki bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Port Dickson dan tambang dikenakan sebanyak RM6.

“Dengan kenaikan tambang bas ini, saya terpaksa merancang semula kewangan dan perlu lebih berjimat lagi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Teksi Port Dickson Daud Mohammad berkata, sejak 2009 tiada sebarang kenaikan kadar baru bagi pengangkutan awam itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:43 AM