Kuala Lumpur: “Sekarang pun kita sudah nampak syarikat bas Bumiputera yang mula kurangkan perjalanan dan menjual bas mereka sedikit demi sedikit kerana mahu menjimatkan kos.

“Lama-kelamaan perniagaan ini akan gulung tikar jika pihak terbabit masih berdiam diri mengenai tuntutan kami untuk menaikkan tambang sejak 18 bulan lalu,” kata Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) Datuk Ashfar Ali.

PMBOA pada Mei tahun lalu, mengemukakan permohonan bagi kenaikan antara 30 hingga 40 peratus tambang bas dan sehingga kini masih tertunggu-tunggu Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengumumkan struktur baru tambang berkenaan.

Ashfar berkata, mereka juga sudah mengemukakan surat kepada SPAD dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung keluhan itu bulan lalu dan berharap persatuan memperolehi kata putus segera disebabkan kesukaran menampung kos operasi, gaji pekerja serta alat ganti yang meningkat.

Katanya, permintaan mereka itu adalah relevan dengan keadaan semasa selain pelbagai faktor yang perlu diambil kira untuk memastikan syarikat bas ekspres terus beroperasi.

“Kita sebenarnya sudah penat kerana terpaksa menyuarakan perkara sama berkali-kali mengenai kenaikan tambang bas ini tetapi masih tiada sebarang perkembangan.

“SPAD maklumkan untuk mengadakan perjumpaan dengan persatuan, tetapi nampaknya tidak ada apa-apa yang kita tidak tahu sampai bila perlu menunggu mengenai tambang baru ini.

“Seperti enam tahun lalu, kita turut meminta kenaikan sebanyak 30 peratus memandangkan semua kos meningkat membabitkan latihan kepada pemandu, alat keselamatan dalam bas, pelaksanaan gaji minimum termasuk bayaran gaji lebih masa. Ini semua membabitkan kos,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Dalam kenyataan sebelum ini, Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, desakan pengusaha bas ekspres itu sedang dalam pemerhatian khusus kerajaan.

Beliau berkata, SPAD sudah mengemukakan cadangan supaya tambang bas dinaikkan mengikut keperluan semasa dan masih menunggu keputusan Kabinet berhubung perkara itu.

Ashfar berkata, mereka turut mencadangkan supaya penyahkawal selia tambang bas ekspres dapat dilaksanakan sepertimana yang dilakukan ke atas bas sekolah baru-baru ini apabila pengendali tidak lagi terikat kepada satu struktur tambang tetap tetapi bebas menentukan anggaran tambang berdasarkan kos operasi masing-masing.

Katanya, ia juga akan membolehkan penumpang menikmati perkhidmatan yang lebih baik daripada pengusaha bas.

“Jika tambang dikawal, kita tidak mampu menyediakan perkhidmatan lebih selesa dan canggih kepada penumpang dengan ciri-ciri keselamatan yang baik kerana sudah terikat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 8:44 AM