Kuala Lumpur: Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad (Great Eastern Life) menawarkan 15 hingga 18 biasiswa bernilai RM1.5 juta untuk pendidikan tinggi di universiti awam, swasta tempatan serta luar negara.

Permohonan baru bagi Anugerah Tahunan Biasiswa Supremacy Great Eastern 2015 kini dibuka kepada seluruh warga Malaysia sehingga 25 April.

Penerima yang menyambung pengajian di universiti awam tempatan akan menerima biasiswa bernilai RM15,000 setahun, manakala universiti swasta tempatan dan luar negara berjumlah RM25,000 dan RM100,000 setahun bagi membiayai yuran pengajian dan kos sara hidup.

Naib Presiden Kanan dan Ketua Modal Insan Dennis Tan berkata, selaras dengan agenda bakat kebangsaan dan sebagai sebuah syarikat LIFE, Great Eastern Life ingin membantu anak muda di negara ini yang berbakat berada di landasan yang betul dan mendapat peluang yang sama rata dalam pendidikan.

“Sebagai sebuah syarikat terkemuka, Great Eastern Life berupaya untuk menawarkan pelbagai bidang pilihan kerjaya antaranya perakaunan, pentadbiran perniagaan, pemasaran, matematik dan psikologi.

“Pemegang Biasiswa Supremacy Great Eastern yang ditawarkan biasiswa berpeluang untuk mendapat pekerjaan yang terjamin di organisasi terkemuka di dalam sektor kewangan selepas tamat pengajian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sejak 1998 sebanyak 133 biasiswa bernilai lebih RM9.34 juta diperkenalkan dan diagihkan pihak syarikat dalam sumbangan ke arah membangunkan minda generasi masa depan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 8:24 AM