Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Great Eastern General Insurance (Malaysia) Berhad (GEGM), syarikat penyedia perkhidmatan dan produk insurans am tempatan terus memperkukuh kehadirannya dalam pasaran insurans negara menerusi penjenamaan semula.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ng Kok Kheng berkata, langkah itu bertujuan memfokuskan kepada penjenamaan semula syarikat berkenaan kepada GEGM yang sebelum ini dikenali dibawah nama Overseas Assurance Corporation (Malaysia) Berhad.

“Great Eastern sebuah jenama yang diketahui dan dipercayai pelanggan. Jadi melalui penjenamaan semula ini, akan wujud persepaduan jenama lebih kukuh dalam segenap saluran perniagaan yang membolehkan kami memanfaatkan kekuatan jenama sepenuhnya bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan awam dan korporat.

“Melangkah ke depan, kami berharap dapat mengukuhkan lagi kehadiran dalam pasaran insurans am di Malaysia, sekali gus menjadi antara pemain industri yang berdaya maju dan menjadi perhatian setiap rakyat negara ini.

“Kami kekal komited dalam memperkasakan pelanggan kami dalam membuat pilihan tepat berkenaan penyelesaian insurans dan akan terus menawarkan produk serta perkhidmatan yang inovatif,” katanya kepada Bisnes Metro.

Ng berkata, dalam dunia teknologi serba canggih ini juga, Great Eastern General tidak ketinggalan untuk bersama-sama dalam membangunkan keperluan teknologi sebagai sebahagian daripada infrastruktur kepada produk dan servisnya.

Katanya, syarikat turut mengambil peluang memfokuskan kepada pendigitalan bagi produknya memandangkan ia bukan sahaja memberi kelebihan kepada syarikat, malah meningkatkan jumlah pelanggannya.

“Kami kini sedang dalam proses memperkukuh segmen digital dan berharap pada separuh kedua 2018 dapat melancarkan perkhidmatan secara atas talian serta mudah alih seperti penggunaan laman web dan aplikasi telefon pintar,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merancang memperluaskan pilihan produk dan pada tahun ini syarikat mempunyai perancangan strategik melancarkan antara empat hingga lima produk khususnya selepas penjenamaan yang dilaksanakan itu.

Malah, bersempena penjenamaan semula ini, GEGM juga melancarkan Great Shield Active, satu pelan insurans kemalangan peribadi yang memberi indemniti dua dan tiga kali ganda dalam kenderaan awam serta acara sukan awam bagi kemalangan maut dan hilang upaya kekal dan menyeluruh (TPD) dengan jumlah diinsuranskan maksimum sebanyak RM1.38 juta.

“Great Eastern percaya dalam membantu pelanggan untuk hidup secara lebih sihat dan lebih baik. Acara tahunan seperti Great Eastern Live Great Run dan Great Eastern Viper Challenge berjaya menarik ribuan peserta.

“Mereka yang mengamalkan gaya hidup sihat akan menerima manfaat daripada Great Active Shield. Pelan ini sangat berpatutan dan boleh dibeli tanpa perlu melalui proses penaja jamin bagi jumlah diinsuranskan maksima sehingga RM880,000,” katanya.

Ng berkata, pelanggan GEGM kini boleh menikmati Great Eastern’s Live Great Programme, program kesetiaan pelanggan pertama seumpamanya di dalam industri insurans yang menawarkan keistimewaan kesihatan daripada lebih 1,000 pusat perniagaan rakan niaga di rantau ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2017 @ 3:05 AM