MUHAMMAD Najman Faris menamatkan ekspedisi berbasikal solo mengelilingi Semenanjung Malaysia.
MUHAMMAD Najman Faris menamatkan ekspedisi berbasikal solo mengelilingi Semenanjung Malaysia.
Oleh Naqiukamil Abdullah


Klang: “Mungkin saya kurang pandai dalam akademik, namun ekspedisi ini satu daripada cara saya untuk mengharumkan nama keluarga, guru, sekolah serta kampung dan ini adalah cara saya membalas jasa mereka semua,” kata Muhammad Najman Faris Razali, 18, yang berjaya menamatkan ekspedisi berbasikal mengelilingi Semenanjung secara solo, semalam.

Menurutnya, hanya berbekalkan wang saku RM200 dan sebuah basikal jenis ‘fixie’, dia memulakan kayuhan solonya pada 1 Februari lalu mengelilingi Semenanjung dengan jarak kayuhan yang dianggarkan 3,000 kilometer.

Katanya, ketika mengutarakan rancangannya itu, dia mendapat tentangan awal daripada keluarga terutama bapanya kerana bimbangkan keselamatannya yang melakukan ekspedisi seorang diri.

“Saya bagaimanapun nekad untuk menjelajah seluruh Semenanjung walaupun sedar terpaksa menempuh pelbagai rintangan kerana saya berpegang kepada pepatah Melayu, ‘jauh perjalanan, luas pemandangan.’

“Saya yakin rezeki ada di mana-mana dan bersyukur kerana dilahirkan di Malaysia kerana rakyatnya memang pemurah kerana saya sentiasa mendapat bantuan dan wang yang disumbangkan orang ramai sepanjang ekspedisi mencukupi untuk saya gunakan sepanjang ekspedisi,” katanya ketika ditemui dalam majlis meraikan kejayaannya menamatkan ekspedisi berbasikal secara solo mengelilingi Semenanjung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Gadong, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2015 @ 5:15 AM