WAN Hashim bertemu dengan ahli keluarganya selepas tamat kayuhan pusingan pertama.
WAN Hashim bertemu dengan ahli keluarganya selepas tamat kayuhan pusingan pertama.

Kota Bharu: “Ketika di Thailand, saya menggunakan lakaran gambar untuk berkomunikasi kerana mereka tidak memahami pertuturan saya,” kata Wan Hashim Wan Mahmood, 70, selepas menamatkan misi kayuhan pertamanya secara solo mengelilingi Semenanjung Malaysia, Singapura dan selatan Thailand, kelmarin.

Wan Hashim yang memulakan kayuhan secara solo pada 26 November lalu tiba jam 3 petang di pejabat Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Kelantan, di sini, dan disambut gembira anggota keluarga, kakitangan TIC dan ahli Kelab Basikal Kelantan.

Menurutnya, kayuhan pusingan pertamanya ini mengambil masa 24 hari dengan jarak sejauh 2,500 kilometer (km) berbanding 25 hari seperti yang disasarkan sebelum ini.

“Saya menyasarkan perjalanan saya mengambil masa 25 hari untuk ditamatkan, namun ia dapat dipercepatkan kerana tahap kesihatan saya yang baik.

“Setiap hari, saya mensasarkan akan cuba menghabiskan kayuhan sejauh 100 km untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Minggu pertama saya berasa penat, namun hari berikutnya fizikal dan mental saya semakin kuat.

“Saya terus bersemangat menghabiskan misi hasil dorongan daripada semua pihak terutama keluarga, pihak kerajaan dan masyarakat,” katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, di sini, semalam.

Sebelum ini, Wan Hashim mencipta nama dalam Malaysia Book Of Record selepas menamatkan kayuhan berbasikal secara solo mengelilingi Semenanjung sejauh 2,200 km pada 28 Februari 2014 sebelum sekali lagi mencipta nama pada Januari lalu apabila menamatkan misi kayuhan berbasikal ke Vietnam, Kemboja, Thailand, Singapura dan Riau, Indonesia serta jelajah negara ini sejauh 5,319 km.

Wan Hashim berkata, dia akan berehat selama tiga hari sebelum memulakan misi kayuhan pusingan kedua Selasa ini membabitkan laluan 2,500 km.

“Banyak yang saya pelajari dalam kayuhan pusingan pertama lalu dan saya akan perbaiki kelemahan yang ada supaya perjalanan kali kedua ini lebih lancar.

“Untuk misi kayuhan kedua ini, saya akan membawa Sistem Kedudukan Global bersama bagi memudahkan saya mencari lokasi yang hendak ditujui,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 8:56 AM