ANDRE Villas Boas meraikan kejayaannya dipilih sebagai Presiden Porto. FOTO REUTERS
ANDRE Villas Boas meraikan kejayaannya dipilih sebagai Presiden Porto. FOTO REUTERS
AFP

Lisbon: Bekas pengurus Chelsea dan Tottenham Hotspur, Andre Villas-Boas dipilih sebagai presiden gergasi bola sepak Portugal, FC Porto, menamatkan pemerintahan Jorge Nuno Pinto da Costa selama 42 tahun.

Villas-Boas, 46, memperoleh 21,489 undi berbanding 5,224 undi untuk pesaingnya berusia 86 tahun, yang sudah memenangi 15 pemilihan berturut-turut sebelum ini.

"Malam yang bersejarah... kelab kami masih hidup dan hari ini membuktikan kekuatannya," kata Villas-Boas, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Porto.

Villas-Boas menikmati tempoh sebagai pengurus yang paling berjaya di Porto.

Ketika berusia hanya 33 tahun, dia membimbing kelab itu muncul juara Piala Portugal dan Liga Europa pada musim 2010/11 tanpa kalah.

Kemenangan dalam Liga Europa dengan menewaskan seteru utama di Portugal, Braga, menyaksikan Villas-Boas muncul jurulatih termuda memenangi trofi Eropah pada usia 33 tahun dan 213 hari.

Villas-Boas berjanji semasa kempennya untuk melantik bekas penjaga gol antarabangsa Sepanyol, Andoni Zubizareta, yang dikenalinya semasa menjadi pengurus pasukan Ligue 1, Marseille, sebagai pengarah sukan.

Dia juga berjanji untuk melantik bekas pemain pertahanan antarabangsa Portugal, Jorge Costa sebagai ketua jabatan bola sepak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 9:49 PM