BERPELUANG menikmati keindahan di kawasan perkampungan di Gunung Semanggol, Perak.
BERPELUANG menikmati keindahan di kawasan perkampungan di Gunung Semanggol, Perak.
Muhamaad Razis Ismail


PADA mulanya, ramai yang beranggapan mengelilingi Semenanjung Malaysia dengan basikal secara solo adalah idea gila dan tidak masuk akal.

Apa tidaknya, ia bukanlah satu perkara yang mudah kerana pelbagai cabaran perlu dihadapi termasuk bentuk muka bumi dan cuaca selain memerlukan kekuatan fizikal serta mental yang tinggi.

Namun, Ahmad Hibatullah Razali, 31, atau lebih dikenali sebagai Jebat berjaya buktikan idea gila itu boleh menjadi kenyataan dengan keinginan yang kuat.

Anak bongsu daripada empat beradik ini nekad memulakan ekspedisi solonya pada 12 Februari tahun lalu di tempat kelahirannya di Shah Alam, Selangor dan menamatkan kayuhan di lokasi sama pada 19 Mac tahun sama.

Oleh kerana Terengganu dan Kelantan dilanda banjir pada ketika itu, Jebat terpaksa menangguhkan perjalanan ke dua negeri terbabit dengan terus ke Perlis untuk meneruskan misinya.

Berbekalkan wang RM800, Jebat berkayuh basikal jenis 'gravel' mengelilingi Semenanjung Malaysia selama 36 hari.

Jebat berkata, idea untuk melakukan ekspedisi itu sudah tercetus sejak tahun 2018, ketika beliau pulang dari mengembara secara solo di kepulauan Borneo selama sebulan.

"Saya termenung jauh memikirkan apa yang mahu dibuat selepas ini. Tanpa sengaja terdetik dalam fikiran untuk melakukan ekspedisi mengelilingi Semenanjung Malaysia dengan berbasikal.

JEBAT ambil masa 36 hari untuk lengkap ekspedisi selepas ‘tawan’ kepulauan Borneo sebulan.
JEBAT ambil masa 36 hari untuk lengkap ekspedisi selepas ‘tawan’ kepulauan Borneo sebulan.

"Lagi pun saya ingin membuat kelainan. Jadi untuk melengkapkan keseluruhan perjalanan saya yang baru ke Sabah dan Sarawak, maka pilihan terbaik untuk mengelilingi Semenanjung adalah dengan basikal, supaya tidak terikat dengan masa selain menjimatkan kos," katanya.

Katanya, sepanjang ekspedisi itu dijalankan, antara cabaran yang dihadapi adalah dari segi fizikal kerana berkayuh memerlukan kekuatan otot peha.

"Pernah beberapa kali saya menghadapi kekejangan otot dan tidak boleh berdiri antara lima hingga 10 minit. Saya tanganinya dengan memakan secubit garam ataupun benda yang masam seperti asam dan lain-lainnya.

"Pada masa yang sama, saya belajar daripada kawan kawan yang berpengalaman, jika menghadapi masalah seperti ini, adakalanya saya minum air mineral dalam jumlah yang banyak untuk sesi pemulihan bagi mempersiapkan diri untuk kayuhan seterusnya pada keesokan hari," katanya.

MENYIAPKAN basikal yang memakan masa selama empat bulan sebelum memulakan ekspedisi.
MENYIAPKAN basikal yang memakan masa selama empat bulan sebelum memulakan ekspedisi.

Selain itu, keadaan cuaca yang tidak menentu berikutan musim Monsun Timur Laut masih melanda di Pantai Timur, beliau terpaksa menangguh perancangan untuk ke Terengganu dan Kelantan yang dilanda banjir.

"Saya terkandas selama tiga hari di Kuantan, Pahang kerana hujan lebat. Melihat keadaan yang masih tidak berubah dan enggan mengambil risiko keselamatan, saya terpaksa mengubah perancangan dengan terus menuju ke utara dengan menaiki bas ekspres ke Perlis," katanya.

Selain itu, ada kalanya ketika mengayuh beliau terkenang arwah ayah yang meninggal dunia beberapa bulan sebelum memulakan ekspedisi itu.

"Saya terpaksa berhenti di tepi jalan kerana tidak dapat menahan kesedihan. Saya tidak tahu nak terangkan perasaan ini mungkin sebab ia terlalu peribadi buat saya. Disebabkan baru kehilangan ayah, maka perjalanan panjang ini amat bermakna bagi saya," katanya.

LALUAN mencabar ‘dragonback’ Jemaluang - Mersing.
LALUAN mencabar ‘dragonback’ Jemaluang - Mersing.

Jebat berkata, sepanjang ekspedisi ini, beliau gembira dapat mengenali ramai kenalan baru dan belajar sesuatu daripada mereka.

"Di Batu Pahat, Johor saya dibawa ke kedai kopi di kawasan pedalaman yang dinamakan Kebun Ibrik. Menariknya kedai kopi ini berada tengah-tengah ladang kelapa sawit menghidangkan kopi bertemakan 'Turkish Style'.

"Ia menarik perhatian saya kerana kali pertama saya merasa kopi yang lain daripada kebiasaan. Saya sempat berbual dengan pemilik kedai itu dann beliau memaklumkan menikmati kopi ini tidak perlu berkali-kali jika ia benar-benar adalah kopi," katanya.

Tambahnya, sepanjang berbasikal mengelilingi Semenanjung Malaysia ini, banyak pemandangan yang indah dan menarik perhatian yang tidak dapat digambarkan dengan lensa kamera, tetapi terpahat di memorinya.

MENIKMATI keindahan pemandangan waktu pagi di Tasik Timah Tasoh, Perlis.
MENIKMATI keindahan pemandangan waktu pagi di Tasik Timah Tasoh, Perlis.

"Antaranya, saya tertarik dengan keindahan Perlis yang dianggap memiliki pakej lengkap keindahan alam semula jadi selain keramahan penduduknya.

"Daripada pemandangan terbitnya matahari sehingga terbenam matahari, gunung-ganang yang mengelilingi Perlis, sawah yang menghijau dan penduduknya, semuanya menarik perhatian saya.

"Setiap daerah mempunyai keindahan yang unik, cantik dan tersendiri. Selain mengayuh di kawasan bandar, saya juga tidak melepaskan peluang meneroka kawasan pedalaman yang sangat menarik perhatian ketika melalui jalan yang agak sempit di kawasan sawah padi untuk merentasi satu tempat ke satu tempat yang lain tanpa perlu bersesak dengan kenderaan lain," katanya.

Berkongsi berkenaan perancangan masa hadapan, Jebat ingin melengkapkan misi mengelilingi Semenanjung Malaysia solo yang tertangguh untuk berkayuh di Terengganu dan Kelantan.

MEMASUKI sempadan Johor pada hari ketujuh ekspedisi.
MEMASUKI sempadan Johor pada hari ketujuh ekspedisi.

"Selepas itu, saya juga berhasrat untuk merentasi negara ke satu negara dengan berbasikal. Mungkin ia mengambil waktu yang lama, sebab saya perlu merangka setiap laluan dan saya perlu kaji segala peta dunia.

"Bukan mudah untuk merentas satu-satu negara dengan berbasikal kerana banyak benda yang perlu diambil kira tambahan pula selepas isu Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 6:31 AM