Oleh Siti Nadzirah Che Mud


Kota Bharu: Warga emas Wan Hashim Wan Mahmood, 70, memulakan misi kayuhan basikal sejauh 8,000 kilometer meliputi tiga negara Malaysia, Singapura dan Thailand hari ini.

Majlis perlepasan misi kayuhan solo dibuat di hadapan pejabat Pusat Penerangan Perlancongan (TIC) Kelantan, 8.45 pagi tadi yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan,Perlancongan dan Warisan, Datuk Mejar (B) Md Anizam Ab Rahman.

Datuk kepada 19 cucu itu berkata, misi kayuhan solo selama 80 hari itu adalah sempena Tahun Melawat Kelantan 2016 yang membabitkan laluan Semenanjung Malaysia, Singapura dan Thailand sebelum kembali ke tanah air pada Februari 2016.

"Kayuhan kali ini sedikit berbeza kerana saya menjadi duta negeri dan perlu mempromosinya dengan menyebarkan risalah sempena Tahun Melawat Kelantan 2016 kepada pelancong.

"Walaupun umur sudah mencecah 70 tahun ia tidak menjadi penghalang untuk saya berjasa kepada negeri ini. Saya berharap keluarga serta masyarakat negeri ini mendoakan misi ini berjalan lancar, " katanya.

Wan Hashim atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Wan mencipta nama sebelum ini dalam Malaysia Book Of Record selepas menamatkan kayuhan berbasikal secara solo mengelilingi Semenanjung sejauh 2,200 km pada 28 Februari 2014 sebelum sekali lagi mencipta nama pada Januari lalu apabila berjaya menamatkan misi kayuhan berbasikal ke Vietnam, Kemboja, Thailand, Singapura dan Riau, Indonesia serta jelajah negara ini sejauh 5,319 km.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 6:51 PM
WAN Hashim memulakan misi kayuhannya. FOTO Bernama
WAN Hashim memulakan misi kayuhannya. FOTO Bernama
MD Anizam (tiga kanan) bersama penaja melihat basikal yang digunakan Wan Hashim (tiga kiri) sebelum melepaskan Kayuhan Solo. FOTO Bernama
MD Anizam (tiga kanan) bersama penaja melihat basikal yang digunakan Wan Hashim (tiga kiri) sebelum melepaskan Kayuhan Solo. FOTO Bernama
WAN Hashim memulakan kayuhan basikal di hadapan Pejabat Pusat Penerangan Pelancongan. FOTO Faris Zainuldin
WAN Hashim memulakan kayuhan basikal di hadapan Pejabat Pusat Penerangan Pelancongan. FOTO Faris Zainuldin