PENDUDUK Kampung Seri Indah, Paya Jaras gembira menerima geran hak milik tanah kediaman.
PENDUDUK Kampung Seri Indah, Paya Jaras gembira menerima geran hak milik tanah kediaman.

Sungai Buloh: Penantian lebih 100 keluarga dari Kampung Seri Indah, Paya Jaras di sini untuk memiliki geran tanah kediaman sejak 20 tahun lalu berakhir apabila menerima geran hak milik masing-masing, semalam.

Penerima, Ismail Mahmud, 63, berkata, penantian dan usaha persatuan penduduk kampung berkenaan nyata berbaloi selepas tertangguh bertahun-tahun.

Kata pesara kerajaan itu, sebelum ini keluarganya tinggal menyewa di kampung terbabit dan pelbagai usaha dilakukan untuk mendapat geran hak milik tanah berkenaan.

“Biarpun bukan anak jati Selangor tetapi saya sekeluarga sudah menetap di kampung ini lebih 20 tahun.

“Alhamdulillah syukur kepada tuhan kerana hari ini, impian untuk memiliki geran tanah sendiri di kampung ini tercapai,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah dan Penyampaian Notis 5A, di sini, semalam.

Majlis berkenaan disempurnakan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.

Bagi Faizah Abdul Jalil, 51, dia gembira kerana isu pemilikan tanah berkenaan dapat diselesaikan meskipun terpaksa menunggu lama.

Menurut ibu tunggal itu, arwah suaminya adalah antara penduduk terawal yang meneroka kawasan penempatan terbabit kira-kira 23 tahun lalu.

Katanya, sebelum ini kerajaan negeri sudah menyerahkan sebahagian geran untuk peringkat pertama tetapi ketika itu namanya tidak tersenarai.

“Mujurlah, kali ini nama tersenarai dan saya berterima kasih kepada pihak terbabit yang membantu penduduk untuk mendapat geran hak milik ini.

“Lot tanah berkenaan tidak akan dijual kerana saya sekeluarga tidak mempunyai tanah lain lagi untuk membina kediaman,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, penduduk yang menerima geran tanah berkenaan perlu membayar premium sebanyak RM1,000 yang disyaratkan oleh kerajaan negeri.

Katanya, bayaran premium berkenaan adalah berpatutan dan penduduk perlu menjelaskan mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Penduduk perlu menjaga tanah yang diberi dengan sebaiknya kerana tanah yang diserahkan tidak boleh dijual,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2015 @ 5:13 AM